28.2.11

Tiada apa-apa yang perlu dirisaukan jika kita kaya

Melihat aku yang lebih cenderung berhaluan kiri, ada yang memberi pendapat bahawa tidak ada apa-apa yang perlu kita tentang. Bagi mereka yang hidup selesa dan tidak terkesan dengan kos sara hidup semakin hari umpama meletak pisau pada leher sendiri, tidak ada apa-apa yang perlu diperjuangkan. Memang benar, kenyataan ini memang benar. Kami tidak akan menentang jika kami tidak dihimpit dengan harga barang keperluan asas, kos perubatan yang murah, pendidikan percuma, tidak ada ketirisan dalam pengendalian wang NEGARA, tidak ada yang dihalau dan merempat, tanah kampung kami tidak dijual secara senyap kepada cukong, polis tidak menembak orang awam, tiada rasuah, dan yang susah boleh menjalani hidup dengan selesa dengan keperluan asas yang cukup. Tiada yang menindas dan ditindas.

Bagi golongan yang memegang fahaman begini, aku percaya mereka tidak pernah meyelami nasib golongan bawahan seperti penjaja tepi jalan, kerani, buruh, pekerja kilang, nelayan, tukang sapu yang terpaksa menampung pelbagai kos sara hidup yang jumlahnya berlipat kali ganda daripada gaji mereka.

Adakah orang-orang begini terfikir bagaimana sebuah keluarga berhempas pulas untuk hidup tambahan pula di bandar dengan pendapatan isi rumah kurang RM 2 ribu sebulan. Suami isteri bekerja pada awal pagi, dan pulang ketika hampir malam. Pulang dalam keadaan penat dan stres, kemudian melakukan kerja-kerja rumah. Anak-anak terbiar hidup sendiri. Hidup di kawasan rumah pangsa dan setinggan, tiada ruang kepada anak-anak ini bermain, kondisi kawasan taman permainan terhad dan daif. Remaja pula memerlukan ruang dan peluang yang lebih besar untuk melepaskan keinginan remaja mereka.

Bayangkan jika anda tinggal di kawasan sesak dan tiada ruang untuk melepaskan kebosanan, tekanan, dan segala macam masalah yang melingkari hidup, apakah yang akan anda lakukan? Aku yang sudah dewasa pun tidak betah tinggal di kawasan begitu apatah lagi anak-anak yang sedang membesar. Lihatlah kehidupan mereka yang mencari ruang melepasan tekanan dengan cara mereka sendiri. Dari sini sudah macam-macam masalah yang timbul dan menyakitkan jiwa. Pergaulan bebas dan jenayah. Inilah sebahagian senario nasib golongan bawahan.

Semalam ketika menonton tv, kita dihidang dengan kenaikan harga barang. Kerajaan menjamin kenaikan ini tidak menjejaskan rakyat. Rakyat dipinta untuk memahami bahawa semua barang diimport dan kita harus mengikut harga pasaran global. Mendengar berita ini ibarat meletak satu lagi batu besar atas kepala. Bertambah satu lagi beban yang memang sudah terbeban dan tunggu masa untuk rebah.

Di kawasan tempat kerja, aku dimaklumkan bahawa telah dipasang meter di bahu jalan. Parkir terhad dalam kawasan bangunan dan tiada pilihan terpaksa meletak kereta di bahu jalan. Ini sahaja ruang yang tidak perlu kami meringankan saku. Jika sudah penuh, terpaksalah ke kawasan berbayar dengan kutipan Rm6 sehari. Sekarang, apabila sudah ada meter, terpaksalah kami mengorbankan wang petrol, makanan, dan keperluan lain untuk memenuhkan kantung meter. Meter ini dipacak kerana geram dengan puluhan kereta yang boleh memberi pendapatan. Sekali lagi kami beban bertambah.

Bagi yang hidup dalam dulang emas, ya kami memahami pendirian anda. Tiada apa-apa yang perlu dirisaukan dan diperjuangkan. Saat kami terpaksa menukar menu dan mengubah cara hidup, anda bebas untuk mengunyah apa sahaja. Jika kami terkesan dengan harga petrol, anda masih mampu bercuti di luar negara. Sedangkan kami terpaksa mencatu segala keperluan asas demi memastikan perut kami tidak kosong. Sedangkan kami juga pembayar cukai. Sewajarnya kehidupan kami juga sama seperti anda.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan