28.12.10

Anak siapa?

Semasa di tahun akhir, aku menyewa di sebuah flat di Pantai Dalam. Hari kedua aku tinggal di sana ada satu insiden yang aku ingat sampai sekarang. Waktu itu, aku pulang dari membeli sarapan. Dalam lif cuma ada aku dan seorang budak lelaki mungkin dalam darjah dua aku agak. Muka budak tu memang muka baru bangun tidur. Orang utara kata muka berserabai. Dia pandang je muka aku. Sedang lif bergerak menuju ke tingkat atas, tiba-tiba satu ayat keluar dari mulut dia.

"Kak, ada duit tak? nak beli makanan."

"Mak mana?" aku menyoal untuk kepastian.

"Mak kerja," jawabnya dengan sambil memandang muka aku.

Aku memberikan sekadar termampu.
Kasihan. Siapalah mak dia ya?
Sepatutnya pada hari minggu sebegitu anak sebesar ini bersama ibu dan ayah di rumah. Berhibur, beristirahat, makan makanan yang sedap, menonton kartun.

Aku tidak mahu menyalahkan siapa-siapa. Mungkin maknya tiada pilihan.
Terpaksa bekerja dan tiada pengasuh.

Sedih aku tengok budak ini. Baru besar ini dah terpaksa berjuang untuk hidup. Harap-harap hidupnya terpelihara, dijauhkan daripada perkara-perkara yang merosakkan.

27.12.10

Orang tua Psiko

Dulu aku kerja separuh masa di Pasar Seni sebagai jurujual kuih-muih tradisional. Masa itu, aku praktikal dan duit pun semakin kering, Alhamdulillah aku dapat kerja ini. Tempat yang aku idam nak kerja separuh masa. Ingat nak kerja sampai habis praktikal, tapi disebabkan seronok dapat duit dan jumpa orang sekaligus membaiki mutu bahasa Inggeris. Salah satu sebab aku suka kerja situ ialah dapat layan lagu-lagu tradisional. Aku terus kerja sampai satu lagi semester dan aku berhenti sebab ada satu peristiwa ini. Huhu. Suspen.

Masa itu bulan puasa, maka sibuklah kedai-kedai di situ buat promosi. Tiba-tiba datang seorang pak cik berkopiah dan berbaju Melayu bertanyakan harga kuih siput.
"Berapa harga ini?"
"RM 12".
"Mahal la"
"Sekarang semua harga naik, biasa la", aku memberi kewajaran.
Mula dari jawapan itu, Pak Cik tu terus buka cerita politik. Katanya nak beli kuih untuk bawa ke rumah Pak Lah di Pulau Pinang. Masa itu aku belum syak apa-apa lagi. Dia cakap yang dia ini keturunan Raja Negeri Sembilan, sepatutnya dia raja yang sah. Oleh sebab itu, dia menuntut elaun daripada kerajaan sebanyak lebih RM 500 juta untuk tempoh 20 tahun. Lama juga aku dengar dia melalut. Ada la lebih kurang 2 jam. Sampaikan bila ada pelanggan datang pun dia masih berdiri dekat kedai nak bersembang. 

Yang paling tak tahan, dia mendakwa diri dia keturunan Syed, siap memburukan keturunan Syed yang lain. Dia bermegah beritahu kalau dia masuk kedai beli barang mesti kedai itu akan penuh sebab dia keturunan baik-baik. Ya aku memang menghormati ahlul baiyt. Tapi bapa aku cakap kalau dia ahlul baiyt buat apa sibuk-sibuk mengaku? macam ada yang tak kena.

Masa tu aku steady lagi, dia tanya aku di mana nak beli tiket keretapi ke Pulau Pinang, aku pun bagitahu la. Dan yang paling aku pelik, boleh pula aku bagi nombor telefon kat dia takut dia tak jumpa tempat tu. Haiz!.
Petang tu dia telefon ajak buka puasa dan dia bagitau tak ada tiket keretapi untuk tarikh yang dia nak.

Sejak tu, baru aku perasan Pak Cik ni memang ada niat lain ini. Minggu berikutnya aku cuti. Dia datang kedai dan telefon kenapa aku cuti. Lepas tu nak pergi Penang nak suruh bapa aku bawa dia pergi rumah Pak Lah. Boleh blah la Pak Cik!!!

Minggu depan lagi seminggu nak raya, dia datang lagi. Budak yang kerja sekali dengan aku bagitahu ada orang cari aku. Budak ini pula bagitahu aku masuk shif petang. Masak la. Aku dah agak Pak Cik tu. Tengah aku susun dodol kat depan kedai, dia datang tegur aku. Terkejut. Aku terus masuk kedai buat tak tahu. Dia blah ke kiosk-kiosk lain. Sejurus lepas itu, datang lagi. Tanya aku jadi tak balik Penang. Aku masih dalam kedai buat bodoh. Tapi disebabkan soalan bertalu-talu dan banyak pelanggan, aku pun cakap tak jadi balik. Dia minta maaf dan blah. Lepas itu, ada pula orang telefon, dah agak mesti orang tua ini, tapi aku jawab juga. Dengar suara dia terus aku letak. Sejak itu, kecoh la family aku di kampung bila aku bagi nombor itu kat adik aku suruh marah orang gila itu. Mak aku dah risau dan kakak aku pun suruh aku berhenti hari itu juga.

Petang itu juga aku bagitahu bos aku nak berhenti. memang dah lama nak berhenti sebab assignment banyak tak siap lagi. Tapi sebab sayangkan kerja, aku tangguh dulu. Sejak peristiwa ini aku berhenti dan tumpu pada assignment tambah-tambah paper skrip drama yang belum ada ceritanya lagi waktu itu. Huh.

Moral yang aku dapat:
Jangan mudah percaya pada orang yang tidak dikenali.
Alhamdulillah, ia pengajaran yang baik walaupun cemas juga masa itu.







Alahai Teksi


Memandangkan aku tak ada kenderaan sendiri, jadi aku mengambil pengangkutan awam untuk bergerak tambahan pula banyak tugasan yang perlu aku ke sana ke mari. Ada suatu hari, aku ke Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dengan menaiki LRT ke Wangsa Maju seterusnya aku memilih teksi untuk sampai ke sana. Memandangkan kawasannya tidaklah sebesar mana, aku yakin pasti pemandu teksi itu fasih atau hafal dengan kawasan sekitar. Malangnya, bila teksi sudah bergerak, dia tanya aku tahu tak tempat tu. Aku cakap tak tahu. Dia marah pula aku.

"Awak sepatutnya tahu tempat ni," bebel pemandu teksi tersebut.
"Saya pun baru pertama kali datang sini, sepatutnya pemandu teksi tahulah jalan di sini,"aku mempertahankan diri.
"Ada nombor telefon dia?"
Kebetulan aku tak simpan nombor orang ITNM, jadi tak dapat la aku nak tolong. Membebel la Pak Cik tu.
"Saya dah 20 tahun bawa teksi, memang cara inilah saya guna, ada nombor telefon kan senang".
Terkejut jga aku bila dengar dah 20 tahun bawa teksi. Tapi tak peka langsung dengan kawasan di situ. Akhirnya aku sampai juga tempat yang dituju hasil 'instict' Pak Cik Pemandu.

Ini bukan kali pertama aku menghadapi keadaan sebegini. Sudah berkali-kali. Minta dihantar ke Rumah PENA pun salah jalan. Alahai pemandu teksi.

P/s: Inilah Malaysia. Sudahlah pengangkutan bas pada tahap lemah, teksi yang kononnya ekslusif itu pun tiada bezanya. Kepada pemandu-pemandu teksi, tolonglah rajin sikit buat ulangkaji jalan tempat awak cari makan. Janganlah salahkan penumpang bila penumpang tidak tahu jalan. Kami orang luar mengharapkan pemandu teksi arif di kawasan tersebut. Tambahan  pula tempat-tempat penting. Kami memilih teksi untuk kemudahan tapi susah pula jadinya. Kerana pemandu tidak tahu jalan, penumpang pula terpaksa membayar lebih sebab sesat.


Gaza atau Orang Kampung

Seringkali kita dijamu dengan program-program pro-Gaza, melaungkan kekejaman zionis. Tidak kiralah di universiti, media, dan berbagai-bagai lagi saluran. Jauh di sana kita nampak kejahatan, dalam rumah kita bermaharajalela kezaliman adakah kita peduli?



Saat kita melaungkan 'free palestin' adakah kita sedar penduduk-penduduk kampung bermati-matian mempertahankan tanah mereka daripada dirampas? Cuba imbas kembali apa sudah jadi dengan kampung Berembang, Kampung Chubadak, Kampung Plentong Baru. Rumah dan surau dirobohkan, tiada tempat tinggal diberikan. Hanya mendapat pampasan sebanyak RM 2000 apa yang boleh mereka buat? Tiada cara lain, mereka berlindung di bawah plastik lebih menyedihkan waktu hujan. Pihak berkuasa juga menggunakan kekerasan terhadap penduduk kampung yang berhimpun. Maaf. Bagi pembaca tegar Utusan dan penonton TV3suku, berita ini tidak disiarkan. Terbaru, 7 buah kampung di Gombak sedang berjuang untuk mengelak daripada menerima nasib yang sama. Begitu juga kampung Baru Kuala Lumpur.


Jika masih belum buta hati, lihatlah dan nilai sendiri. Ini juga kekejaman zionis 'Melayu.'

Tujuh buah kampung di Gombak iaitu Kampung Bandar Dalam, Kampung Puah, Kampung Sungai Mulia, Kampung Merali, Kampung Padang Balang, Kampung Puah Seberang, dan Kampung Chubadak akan diambil untuk membina pusat komersil dan sudah tentu hilang identiti Melayu di bandar ini. Pada awal Muharam lalu mereka berjuang melalui "Seniman Bersama Rakyat" dan sebelum itu mereka telah mengadakan sambutan Dirgahayu sambutan150 tahun Kampung Bandar Dalam untuk mengekang usaha pengambilan tanah tersebut. Mereka bukan penduduk setinggan. Kampung-kampung ini dibuka oleh nenek moyang penduduk kampung yang berasal dari Indonesia sekitar tahun 1830-an. Malah dalam kampung ini turut terdapat golongan profesional seperti peguan dan jurutera. Ini menunjukkan mereka bukan penduduk setinggan!

Apa gunanya mengutuk serta berpuisi menghentam zionis, sedangkan apa yang dilakukan zionis itu turut berlaku dalam rumah kita. Buka mata, buka hati. Adakah bila kita membela penduduk Palestin kita dilihat lebih Islamik? bila membela nasib bangsa sendiri adakah kurang Islam? Mereka juga saudara kita malah ahli keluarga kita yang harus dibela dan diberi perhatian. Saya tidak mengatakan salah jika kita membela saudara kita di Palestin. Tetapi sebelum melebarkan langkah ke sana, pandanglah orang-orang kita yang juga memerlukan bantuan dan sokongan. Saya juga agak terkejut, apabila seorang yang aktif melaungkan anti-Zionis, tidak tahu menahu peristiwa di Kampung Plentong ketika itu sedangkan dia juga dari negeri tersebut. Mengapakah kita selalu memandang yang jauh,sedangkan yang dekat juga menderita?

23.12.10

Bukti kerajaan Amerika dan dunia penyembah syaitan!!! part 8

"tragedi" 11 sept 2001 atau nama glomournya "tragedi"911 antara tragedi buatan manusia yg paling dahsyat.Terlalu byk bukti yg menunjukkan ia bukanlah dilakukan oleh pengganas islam tetapi merupakan kerja org dalam "inside job".Taip saje 911 inside job di mana-mana search engine anda pasti akan temui byk bukti yg menunjukkan ia dilakukan oleh org dalam tetapi Siapakah yg mendalangi "inside job" ini???.Tahukah anda Illuminati=freemason=penyembah syaitan yg popular dgn logo "mata satu" yg mereka namakan All seeing Eye merupakan pertubuhan sulit yg lama dan berbahaya "kebetulan" leh dikaitkan dgn "tragedi" 911 ini.Hmm.. ye ker??? lihat gmbr,video dan pautan dan korang fikirlah sendiri...


satu upacara bagi memperingati "tragedi" 911 yg dahsyat ini telah dilakukan ditapak runtuhan World Trade Centre tetapi yg menjadi kontroversi formasi peserta2 yg terlibat dalam upacara ini secara "kebetulan" membentuk seperti "mata satu".Perhatikan gak channel berita yg buat liputan tu.. adalah channel CBS pun "kebetulan" berlogo "mata satu" Byk betul kebetulan nyer yer...

22.12.10

"Mereka ini tidak suka pembangunan,kerana itu hidup dalam setinggan"

Ketika melintasi Kampung Abdullah Hukum dalam perjalanan ke suatu tempat dengan menaiki LRT Putra, seorang penumpang warga asing bertanya kepada rakannya, seorang warga tempatan. Aku hanya memerhati gelagat mereka.
" KL ini sebuah bandaraya, kenapa masih ada rumah-rumah papan dan setinggan?"
"Mereka ini tidak mahu berubah, tidak suka akan pembangunan dan pembaharuan," jawab rakannya seperti berita dalam akhbar Utusan. Kelentong dan belit.
Dalam fikiran aku ketika itu, mahu sahaja aku menerangkan kepada pelancong itu keadaan sebenar. Mengapa kampung-kampung ini musnah?
Mengapa di celah megah berdiri bangunan Mid Valley dan Hotel Boulevard masih ada rumah tradisional Melayu, malah rumah setinggan?
Dan yang paling penting, mengapa kawan kau berfikiran seperti itu.
Mudah sahaja menghakimi orang-orang bawahan seperti itu. Aku pasti, kawannya ini mesti kurang memahami apa yang sedang berlaku dalam masyarakatnya.
Khayal dalam kecanduan dunia individualistik. Tak sedar berapa banyak tanah telah dirampas? Berapa pampasan yang diterima oleh mereka ini bila bangunan ini naik?
Apakah perasaan golongan ini bila suara tidak didengar? Kelemahan mereka dieksploitasi. Semua kira kenyang perut sendiri dan terus bodoh untuk seribu tahun lagi.


Kampung Abdullah Hukum, di belakangnya tersergam bangunan Mid Valley.


Pseudo Urbanization: disebalik tembok megah terlindung duka  anak kota.

15.12.10

Di rumah pun boleh belajar!


Masa kecil-kecil dulu, aku bukan jenis budak yang ada berbakul-bakul mainan. Mainan aku ada tak sampai 10 kot. Rasanya la. Kereta mainan yang boleh aku kayuh dalam rumah, teddy bear, gorilla, (ganas-ganas juga mainan aku) lagi ada beberapa la.

 Yang pasti dan paling aku ingat ialah buku. Pada umur tiga tahun, aku sudah memiliki mesra dengan buku. Yang paling aku sayang ialah majalah G.a.n.g. Majalah ini dapat kalau buka akaun kat bank Arab Malaysian (Ambank). Aku dapat majalah ini sampai tingkatan 1.Dalam majalah tu ada peraduan mewarna. Aku ada beberapa kali menang. Tapi bukan aku yang warna, abang aku, kadang-kadang kakak aku hehehe. Kandungan majalah itu banyak mendidik aku terutamanya cerita kanak-kanak dan simpulan bahasa. Ada juga kolum untuk belajar main bola bersama M.Chandran kalau tak silap dan trick silap mata.

Yang seronoknya kelab ini mereka buat aktiviti luar. Antara yang aku ikut ialah explorace dalam Taman Rama-rama dan melawat hotel. Dapat juga pengalaman menguruskan hotel pada umur 12 tahun. Huhu. Paling seronok dapat kenal dengan budak-budak lain yang aku tak pernah kenal. Sayangnya, majalah yang ada gambar aku masa aktiviti kena rampas masa spotcheck di sekolah oleh pengawas yang suka membodek. Majalah ilmiah pun nak rampas! Cis!!

Selain G.a.n.g, ada satu lagi majalah. Majalah Colgate.Tapi tak berapa ingat sangat kerana tidak berterusan. Apa yang aku ingat aku pernah koyak majalah tu sampai halus dan lambung sambil berlari. Dalam tu pun banyak info yang berguna untuk kanak-kanak. Tapi aku paling suka gelas hadiah colgate sebab kartun dia dan comel ada iras-iras muka aku dan aku suka belek kartun tu waktu minum air.



Masuk darjah satu, bapa aku melanggan pula siri buku dinasour. Oleh sebab buku tu dalam bahasa Inggeris, aku cuma tengok gambar dan rajah perbezaan saiz manusia dengan dinasour dengan penuh kagum sambil dengar bapa aku bercerita.

Bila dah pandai membaca, aku selongkar almari buku. Dulu aku suka ponteng sekolah sebab tak seronok. Kawan-kawan pun ntah apa-apa. Cikgu-gikgu pula berat sebelah (maaf cakap). Jadi aku selalu bagi alasan kat mak aku sakit perut. Sampai mak bapa aku pun dah tak tahu nak buat apa. Malas sangat masa tu. Waktu ponteng tu la aku baca buku tapi bukan buku sekolah, biasanya buku sastera. Paling advance buku Tun Salleh Abas masa aku darjah 3. Baca je tapi tak faham sangat pun apa yang diceritakan. Ada juga aku baca Kisah Sufi.



Kalau bosan aku melukis. Waktu itu suka lukis Mickey Mouse tiru gambar pada T-shirt. Kadang-kadang lukis Tuan Puteri lepas tu tunjuk kat mak aku dan tanya "Cantik tak?". Dialog ini melekat sampai besar dan selalu aku tanya pada housemate aku Ida Marwati. "Ida, cantik tak aku?"

Kalau waktu pagi aku suka tengok tv rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3. Masa tu ada pantun, kuiz, sketsa pada setiap Selasa, Rabu, Khamis kalau tak silap. Bila balik sekolah, mak aku selalu cerita benda-benda ni membuatkan aku teruja dan tak nak pergi sekolah sebab nak tengok pantun dan kuiz. Paling aku suka dalam MHI ada selingan video klip lagu M.Nasir lagu "Sentuhan Listrikmu" dan "Hitam Putih Kehidupan" Shiela Majid. Sekarang bila dengar lagu, nostalgia betul, teringat waktu "berbulan madu di rumah" masa darjah satu sambil belajar bawa basikal.

Bila tengahari, aku  tengok pula tv pendidikan di TV2. Aku suka betul rancangan kuiz pasal haiwan liar. Siapa dapat jawab dapat satu anak patung haiwan liar dan aku siap hafal jawapan kuiz sebab siaran itu berulang. Kadang-kadang aku tengok pasal tatabahasa, biologi, dan matematik tingkatan 2 walaupun aku baru darjah 2.

Realitinya, aku nak kongsi sikit. Bila masuk tingkatan 2, subjek matematik adalah subjek ngeri dan aku tak pernah lulus. Cikgu garang dan suka tanya soalan mengejut. Aku belajar dalam ketakutan macam sedang menyorok daripada askar Jepun dalam filem "Paloh". Tapi itulah yang berharga sebab cikgu tu ikhlas dan aku sayang cikgu itu.

Sejak bapa aku melanggan Harakah dan akhbar-akhbar alternatif, aku pun ikut baca. Waktu itu, umur aku 11tahun pada tahun 1998 dan sampai dewasa ni tak boleh lekang untuk menatap isu politik. Sampaikan Kertas Projek Ilmiah pun pasal Pilihanraya Kampus.

Pengalaman masa kecil ni telah memberi impak pada hidup aku sekarang. Mungkin. 

-Aku suka berpersatuan dan persatuan kesayangan aku semestinya Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) dan Persatuan Pengajan Media (MassAC). Macam tak boleh berenggang pulak walaupun dah habis belajar. Sebab kedua-dua persatuan ini ada kaitan dengan hidup aku- BAHASA dan MEDIA.

-Aku cinta buku dan suka sangat membaca. Pantang ada  orang jual buku mesti nak beli dan buku adalah perkara wajib ada dalam beg walau mana-mana pun aku pergi.

- Mungkin perkara yang menjadi persoalan bagi sesetengah orang, kenapa aku suka haiwan liar sampaikan laptop skin pun gambar harimau. Jawapanya: Minat haiwan liar lebih nampak cool daripada minat anak patung. Hehe.

-Paling dominan dan bagi sesetengah orang agak menakutkan, aku suka baca suratkhabar politik. Ia tidak menjadikan aku ganas walau aku dah jadi makanan aku sejak 12 tahun lalu malah menyedarkan aku tentang realiti kehidupan.

Lebih baik duduk rumah boleh juga dapat ilmu dari di sekolah penuh dengan sengsara. Hua Hua Hua!!

14.12.10

Zikir jadi ubat

Sewaktu sedang nyenyak tidur, aku tiba-tiba terjaga. Terasa ada sesuatu yang bergerak dalam telinga. Mungkin semut. Mak aku pesan, kalau ada serangga masuk dalam telinga, sapu kapur pada telinga yang lagi satu. Tapi di rumah tak ada kapur dan mana nak cari kapur tengah-tengah malam. Jadi apa aku buat?

Aku cuma pegang telinga dan baca surah al-Fatihah beberapa kali. Lepas tu aku iqamat dan sambil membaca aku yakinkan diri dengan kuasa Dialah serangga ini akan keluar. Alhamdulillah, tak sampai 10 minit, aku dah tak rasa apa-apa.

Yakinlah dengan ayat-ayat Allah dan jangan kita memandang remeh akan kalimahNYA.

Akta Kampung Baru ditangguh


Tangguh akta Kg Baru hingga dapat ‘lampu hijau’ pemilik, kata Pakatan The Malaysian Insider

December 14, 2010


Mahfuz Omar
KUALA LUMPUR 14 Dis — Pakatan Rakyat mempersoalkan keikhlasan pentadbiran Najib kerana memutuskan untuk membentangkan Rang Undang-undang Perbadanan Kampung Baru bacaan kali pertama di Parlimen hari ini tanpa mendapat ‘lampu hijau’ rasmi pemilik dan pewaris tanah kawasan itu.
Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, jika kerajaan mahu membentangkan rang undang-undang itu, ia harus dibentangkan terlebih dahulu kepada pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru sebelum dibawa ke Parlimen.
“Saya mempersoalkan keikhlasan kerajaan untuk bincang perkara ini (Rang Undang-undang Perbadanan Kampung Baru), kenapa tidak bentangkan dulu kepada penduduk sebelum dibawa ke Parlimen?
“Ini kerana kalau nak bentang (di Parlimen) rang undang-undang itu harus mendapat persetujuan penduduk terutamanya pemilik dan pewaris tanah.
“Kerajaan perlu dapatkan persetujuan terlebih dahulu, baru boleh bentang. Bagi saya tindakan kerajaan ini melanggar hak penduduk di sana,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Oleh yang demikian, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena mendesak Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin supaya membatalkan hasrat untuk membentangkan rang undang-undang itu di Parlimen yang dijadualkan hari ini.
Mahfuz juga mahu Raja Nong Chik membentangkan rang undang-undang itu kepada semua pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru dan mendapatkan persetujuan mereka terlebih dahulu.
“Tindakan kerajaan ini seolah-olah dah buat kata putus tentang masa depan Kampung Baru apabila mahu bentangkan ia di Parlimen esok (hari ini).
“Jadi, saya minta beliau (Raja Nong Chik) supaya tangguhkan dulu pembentangan di Parlimen selagi ia masih belum mendapat persetujuan daripada penduduk,” katanya.
Beliau juga mahu Raja Nong Chik membentangkan dengan terperinci kandungan Rang Undang-undang Perbadanan Kampung Baru kepada penduduk dan juga kepada Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru.
“Kita mahu draf rang undang-undang ini dijelaskan dulu dengan terperinci kepada penduduk dan juga MAS. Mereka perlu tahu fungsinya, apa kesan kepada Kampung, semua ini penduduk perlu tahu.
“Jadi bila kerajaan ambil keputusan untuk bacaan kali pertama esok (hari ini) seolah-olah mengetepikan hak penduduk untuk tahu apa yang ingin kerajaan lakukan kepada kawasan mereka,” katanya.
Minggu lalu, Raja Nong Chik berkata, Rang Undang-undang Perbadanan Kampung Baru akan dibahaskan Parlimen Mac depan dengan bacaan kali pertama hari ini.
Menurut Raja Nong Chik, satu pertemuan juga akan diadakan dengan pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru malam ini untuk membentangkan dengan terperinci kandungan rang undang-undang itu.
Pertemuan dengan penduduk Kampung Baru malam ini melibatkan dua buah kampung iaitu Kampung Hujung Pasir dan Pasir Periuk, dianggarkan kira-kira 300 penduduk terdiri daripada pemilik dan pewaris tanah akan hadir mendengar pembentangan itu yang akan disampaikan Raja Nong Chik.
Kawasan Kampung Baru Kuala Lumpur yang berusia 110 tahun dan meliputi tujuh buah kampung terletak di atas tanah seluas 90.2 hektar. Kawasan itu kini didiami sekitar 35,000 orang.
Kampung Baru mempunyai tujuh buah kampung iaitu Kampung Periuk, Kampung Masjid, Kampung Atas A, Kampung Atas B, Kampung Hujung Pasir, Kampung Paya dan Kampung Pindah.

13.12.10

SANG PECINTA

Marilah sama-sama kita memekarkan cinta kepadaNYA... 


SANG PECINTA~M.NASIR
Menanti satu detik pandangan magis mu
Cukup untuk meredakan rindu duniawi
Segala dugaan dan pesona
Menjadi irama indah
Kesakitan ragaku
Berlalu pergi Tiada bererti

Pada Mu jua Tertuju segala jalan
Pada Mu jua Cinta ku serahkan
Kerna hati seorang pencinta
Pandangannya satu
Matanya hanya melihat Dia
Yang melihatnya Hanya Dia kekasihnya

Sang Pencinta… Hanya Dia merasa
Semangat sebuah pengorbanan
Sang Pencinta… Hanya Dia mengerti
Persoalan percintaan ini
Cinta ini Rela menderita
Agar rindu batinnya terubat
Mengenang Dia Cinta yang dipuja
Mengenang Dia Cinta yang diredha
Hanya Dia Mengenang Dia Hanya Dia

Intelektual vs Momok

Itu bukan intelektual. Itu momok. Dia memomokan aku dengan undang-undang menindas.
Katanya mahasiswa perlu akur dengan undang-undang.

"Pengetua kolej ada masa 24 jam untuk singkirkan kamu daripada kolej", katanya dengan nada mengertak.
"Kamu harus faham, duit rakyat. Apa duit rakyat? Kamu bukan kerja lagi, belum bayar cukai sudah pandai bising duit rakyat". Aku hanya diam. Diam tidak bermakna takut. Biarlah dia dengan "kekangkungannya".

Siapa dia?
Dia adalah seorang pensyarah. Fakulti? Tidak tahu. Datang menghampiri aku dan yang lain ketika kami menjadi pemerhati untuk pilihanraya kampus sewaktu aku di tahun 2.

Buat tuan yang bijak bistari,
Ya, memang kami belum bekerja pada waktu itu. Tapi secara tidak sedar kami telah membayar cukai.
1. Caj Perkhidmatan PTPTN sebanyak 3 peratus. Seawal usia 20 tahun kami telah ditimbunkan dengan hutang sebanyak RM 21 ribu. Caj itulah dikira cukai kepada kerajaan.
2. Jika kami ke restoran makanan segera, kami tidak terlepas membayar cukai 5 peratus cukai perkhidmatan. Itulah cukai.
Kami yang 'belum bekerja' telah lama membayar cukai wahai tuan. Cuma kamu saja yang membutakan mata menidakkan yang hak.

Amat jelik aku melihat mereka yang menggelarkan diri golongan akademik tapi sebaliknya pembodek. Membodohkan mahasiswa supaya mereka terus kekal berkuasa. Aku tidak mahu tunduk pada mereka ini. Aku anak muda. Anak muda seharusnya bebas berfikir, menilai baik dan buruk sesuatu. Inilah yang menjadikan kami matang. Berhentilah mengugut kami dengan kuasa kamu. Kuasa itu hanya alat ciptaan kamu sendiri. Penindasan adalah sesuatu yang dimurkai Allah. Prinsip aku "jika ia menindas, tinggalkan saja". Maaf  tuan, aku tidak dapat tunduk dengan kuasa kamu.

Terima kasih dan sayang kepada para pensyarah yang ikhlas mengajar dan menjadi ahli akademik tulen. Profesor, Dr.,encik, tuan, puan atau apa sahaja gelaran, aku sentiasa menyanjungi kalian. Semoga Allah merahmati semua.

Ketuanan Melayu Sedap Dimakan

Ketuanan Melayu. Semenjak dua menjak ni kecoh dengan Ketuanan Melayu. Slogan yang aku tidak boleh terima. Tapi jangan salah faham, aku bukan pengkhianat bangsa bila tidak suka slogan ini. Seperti yang telah 'dicerahkan' kepada masyarakat slogan ini tidak membawa apa-apa makna untuk kelangsungan hidup marhaen Melayu.

Cuba imbas kembali apa yang telah berlaku sepanjang hidup kita...
Hujung bulan tidak cukup duit, makan terpaksa catu, anak pergi sekolah tak bawa duit- adakah Ketuanan Melayu ini telah mengenyangkan perut kita?

Sekarang pelajar berhempas pulas untuk belajar Bahasa Inggeris, sebab apa? Nanti takut tak dapat kerja sebab semua urusan dalam Bahasa Inggeris. Mana Bahasa Melayu dalam Perkara 152 sebagai bahasa kebangsaan?
Opps! aku bukan golongan linguistic chauvinist atau menidakan keperluan mempelajari bahasa-bahasa lain. Aku sendiri juga mempelajari Bahasa Inggeris dan Burma dengan tekun. Persoalannya ialah inikah nasib bahasa Melayu dalam genggaman slogan Ketuanan Melayu? Terpinggir dan terasing di bumi sendiri. Siapa punya kerja?

Sekarang harga barang semua naik. Minyak naik. Gula naik. Diesel naik. LPG naik. Lori nak hantar barang tak kan tak kira kos minyak dan diesel? Air kelapa tepi jalan tak kan nak halalkan air gula dalam minuman?
Mungkin yang berjuang mempertahankan slogan ini terselamat daripada kenaikan harga barang. Semoga berjaya.

Sebagai rakyat bawahan yang setiap hari perlu memikir duit untuk makan, tambang bas, PTPTN, dan serba-serbi yang perlu dibelanja, Ketuanan Melayu hanyalah slogan untuk memaku kerusi golongan atasan untuk hidup selesa. Ketuanan Melayu tidak pernah meringankan beban kewangan aku dan rakyat marhaen yang lain. Ia tidak boleh ditukar dengan duit bila aku pokai, ia tidak boleh dimasak bila kau lapar!!

Aku tidak perlu Ketuanan Melayu atau apa-apa istilah yang setara dengannya.

 Aku NAK harga barang murah supaya aku dapat hidup dengan selesa.

Aku NAK warisan bangsa dipertahan bukan dilacurkan.

Wahai Orang yang duduk di atas, janganlah asyik memandang ke langit, jenguklah rumput di bawah. Rumput inilah yang kau tagih undi menjelang pilihanraya nanti!!

11.12.10

Yang penting cakap, biarlah kalau orang tak nak dengar

"Aids ni bahaya, itulah pasal orang suruh check.
"Tengok anak bini kena aids! kesian!" kata seorang Pak cik dengan penuh perasaan.
Dia memegang suratkhabar dan menunjukkan berita mengenai AIDS kepada orang ramai sambil membebel pasal AIDS.
Tidak ada sesiapa yang peduli. Mungkin orang ingat dia gila.
Kawan aku, Kak Mizie cakap Pak cik ini dia ada sesuatu untuk diluahkan tetapi tiada ruang yang sesuai. Aku setuju itu. Bila semua dah naik bas, pak cik itu diam dan sambung membaca.

Aku memahami keadaan pak cik ini, aku juga macam dia. Sebab itu aku berblog. Tapi belum pernah lagi la membebel di tempat awam. Hehehe.

9.12.10

Nenek kebayan dalam bas

Sewaktu pulang dari program Seniman Bersama Rakyat, aku menaiki bas dari Gombak ke Pasar Seni. Waktu itu, sudah pukul 10 malam. Dalam bas itu cuma ada dua tiga orang penumpang sahaja. Aku duduk di kerusi menghadap tingkap. Di hadapan aku, ada seorang nenek dalam lingkukngan umur 80 tahun. Nenek ini nampak agak daif. Bebaju kurung, cuma memakai anak tudung yang senget-benget dan gigi tinggal beberapa batang. Aku tertanya juga, ke mana nenek setua ini berjalan seoramg malam-malam buta. Kesian nenek ini.

Sampai separuh jalan, dia menegur aku. Aku pun ambil peluang bertanya dia dari mana.
"Mengurut dik. Esok nak pergi lagi"
Tiba-tiba dia tanya aku
"Adik nak tak pendinding. Kalau di tempat kerja orang akan pandang kita sama rata je'
Aku mengangguk. Tapi bukan nak pendinding, cuma sekadar menghormati perbualan.

Dia pegang pula tangan aku, sambil buat demonstrasi mengurut jari. Aku dengan perasaan takut diapa-apakan, berdoa sajalah.
" Best kan mengurut, asyik duduk dalam aircond je, bagus juga mengurut, hilangkan penat. Kalau nak datang ambik kat Chow Kit."
Dia menghulurkan tiket bas dan meminta aku menulis nama dan nombor telefon. Aku menurut saja untuk cover line Tapi aku tidaklah bodoh, aku bagi nombor palsu. Tapi yang kelakar dialognya

"Bagi nombor telefon kat nenek. Nanti I call u. Sebenarnya nenek anak saudara YB di Johor. Uncle aunty dah meninggal. Aunty dah duduk KL 80 tahun."

Tadi bernenek dengan aku, tiba-tiba aunty anak YB Johor pula tu. Duduk KL 80 tahun. Ish ish ish. Apa rasa korang?

Turun bas je aku terus lari. Takut juga kalau dia ada tenaga luar biasa boleh kejar aku.

Seniman Bersama Rakyat

Pyan Habib
Bonda Siti Zainon dan sahabatnya

Aku suka program ini. Ada juga orang-orang yang 'ada nama' menyokong perjuangan rakyat marhaen. Hanya orang yang waras dan sedar dan berakal berada di sini.

Aku tidak suka orang yang berkot, jalan berbodyguard, bila duduk dekat mereka terasa diri ini kecil kerana tidak ada kuasa, tidak ada harta. Mereka ada kuasa, tapi untuk merompak.

Aku tidak suka malah benci, orang yang lantang kononnya membela nasib
kaum Melayu, tapi hilang bila tanah, bahasa, maruah tergadai.

Aku suka bila tengok ramai yang datang, membawa gagasan yang sama
Bersatu dalam himpitan kapitalisme.

Semoga Allah merahmati kampung ini dan sisa-sisa kampung yang masih berbaki. Allahuakhbar!

Madrasah Tarbiyah kampung Bandar Dalam. Jangan roboh madrasah ini. Pesanan untuk DBKL

Antologi Puisi 56 Penyair



                                               






8.12.10

Wuduk Zahir Batin

Salah satu e-mel yang ada dalam peti masuk ini aku rasa wajar untuk dikongsi.
Terima kasih kepada hamba-hambaNYA yang sudi melanjutkan kiriman kepada saudaranya.

Wudhuk zahir dan batin

Seorang ahli ibadah bernama Isam Bin Yusuf, sangat warak dan khusyuk solatnya. Namun, dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya,
demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasainya kurang khusyuk.

 Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Assam dan bertanya, "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?" Hatim berkata, "Apabila masuk waktu solat, aku berwudhuk zahir dan batin." 

Isam bertanya, "Bagaimana wudhuk zahir dan batin itu? " Hatim berkata, "Wudhuk zahir sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wudhuk dengan air". Sementara wudhuk batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :-
 * Bertaubat
 * Menyesali dosa yang telah dilakukan
 * Tidak tergila-gilakan dunia
 * Tidak mencari/mengharap pujian orang (riya')
 * Tinggalkan sifat berbangga
 * Tinggalkan sifat khianat dan menipu
 * Meninggalkan sifat dengki."


 Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan:


 1.aku sedang berhadapan dengan Allah,
 2.Syurga di sebelah kananku,
  3.Neraka di sebelah kiriku,
 4.Malaikat Maut berada di belakangku, dan
  5.aku bayangkan pula aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Siratal mustaqim' dan menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhir bagiku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik."



 "Setiap bacaan dan doa didalam solat, aku faham ! maknanya kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawadhuk, aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun."

Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.



6.12.10

$$$...banyak nak kena bahagi

Masuk saja 4 Disember 4 barang naik..naiklah lah
Kami rakyat marhaen sudah penat,
Penat memikirkan kebodohan, ketamakan, kerakusan pemerintah
Dah namanya pun BN, mestilah Barang Naik
Tatapi, harus diingat,
Kami bangun kerana ini
$$$ diperlukan untuk tambang bas
$$$ untuk minyak
$$$ makan + telur
$$$ PTPTN
$$$ biaya kos kolej
$$$ ubat kencing manis + darah tinggi + buah pinggang
$$$ susu anak
$$$ TOLol
Bangun melawan penindasan dan ketidakadilan
Opss..tak lama lagi tahun baru
Biasanya kalau tahun baru, TOL akan jadi penyambutnya
$$$ naik lagi..

Bertahan! bertahan! bertahan! Jangan roboh kampung kami!!!

Jom bangkit melawan! kita lawan dengan apa cara sekalipun!!
Ironi sekali, dalam sibuk menghunus keris,
berslogan ketuanan Melayu, bersongkok tinggi
kononnya hanya UMNO yang dapat memperjuangkan Melayu
Waktu itulah hak milik peribumi hilang, tengah hilang dan bakal hilang...



3.12.10

Jom tambah ilmu, di LRT pun boleh membaca



Perkara: Taklimat Baca@LRT 2010 terakhir dan paling spontan!
Khusus kepada mereka yang pertama kali akan turun ke Baca@LRT. Taklimat ini adalah penting.

Mohon izin hebahan ke emel, blog dan Facebook

Bayangkan pada hari Ahad ini, kejutan kepada rakyat Malaysia yang menggunakan LRT. Mereka tidak tahu Baca@LRT akan berlaku di dalam gerabak dan mereka akan terkejut melihat sekeliling orang sedang membaca!

Satu kesan psikologi yang mendalam!

Baca@LRT 'Massa'
Jam 10 pagi dan 2.00 petang (pilih salah satu masa)
Bermula Terminal Putra Gombak
Berakhir Terminal Taman Jaya (berdekatan Amcorp Mall)

Semua orang spontan , melakukan hal masing-masing. Tidak ada ucapan, perhimpunan dan acara 'memotong reben'. Sangat natural!

------

Assalamualaikum wbt


Pada Ahad 5 Disember 2010, Baca@LRT bertemakan Massa yang terakhir edisi 2010 akan diadakan.

------

Apakah itu Baca@LRT?

Ia adalah aktiviti spontan membaca di dalam LRT bermula dari Terminal Putra Gombak sehingga LRT Taman Jaya.

Para penyokong akan membawa buku kegemaran masing-masing dan membaca sepanjang perjalanan.

Mereka yang tidak menahu akan program ini akan dikelilingi pembaca buku pada hari itu.

Nota: Mohon sharekan link event in di FB dan blog. Terima kasih :)

-------

Tentatif

Ia akan diadakan pada dua masa iaitu pada jam 10.00 pagi dan 2.00 petang. Pilih masa yang bersesuaian antara kedua-dua masa ini.

Baca@LRT tiada sebarang perhimpunan rasmi, ucapan atau apa-apa berbentuk majlis.

Ia spontan tidak ada apa-apa berlaku. Penyokong hanya dikenali melalui buku yang dibawanya. Malah ada yang tidak kenal satu sama lain.

Pada jam 10.00 pagi dan 2.00 petang, kita akan beramai-ramai menaiki LRT. Keadaan akan menjadi pelik di kalangan mereka yang tidak tahu Baca@LRT ini sedang berlangsung.

Tiba di Taman Jaya, para peserta bersurai ke Amcorp Mall.

Jika LRT pertama penuh, naik LRT seterusnya.

----

Apa yang ada di Amcorp Mall?

Pada hari itu akan ada jualan buku baru dan terpakai serta terdapat beberapa kedai buku termasuk kedai buku BookXcess di tingkat empat yang menjual buku baru pada harga amat rendah.

----

Apakah kesan program ini?

Ia menggalakan budaya gila-gila membaca di tempat awam.

----


Laporan Baca@LRT sebelum ini dapat diikuti di sini

(1) Membuat kejutan dan telah berjaya membawa perubahan budaya membaca seperti ini Buktinya klik di sini http://www.facebook.com/l/488fdtTEKXqrozhQJDZMeaZDvgQ;on.fb.me/gEobkF

(2) Menunjukkan bahawa rakyat dengan tindakan kecil dapat membawa perubahan dalam amalan membaca klik di sini http://www.facebook.com/l/488fdbtKjUOW9WYI-FzKN29ZsMQ;on.fb.me/fClOIC

(3) Mendorong gerakan rakyat Malaysia di negara lain percaya ada perubahan budaya membaca berlaku di Malaysia kerana Tuan dan Cik Puan. Buktinya klik di sini http://www.facebook.com/l/488fd-RJzm-78bVR-wmOIh7sLQQ;on.fb.me/eh7lrO

(4) Kejutan bacaan spontan akan memberi kesan psikologi mendalam kepada mereka yang tidak menahu program ini berlangsung. Ia akan mendorong mereka membawa bahan bacaan pada masa akan datang. Insya Allah.

(5) Mereka yang pernah membaca tetapi berhenti membaca di tempat awam akan mendapat keyakinan kerana Baca@LRT

(6) Pendidikan awal kepada kanak-kanak dan remaja bahawa membaca di tempat awam itu cool!

1.12.10

Canggung budaya


"Datang dari mana entah?"
Ejekan seorang rakan sekelasku disambut gelak ketawa sekumpulan pelajar.
Itulah lontaran kata-kata orang yang canggung dengan budayanya sendiri saat aku tergila-gilakan budayaku.

Aku dikenali sebagai sebagai seorang yang suka akan seni dan budaya. Kerana di dalam kelas, hanya aku seorang sahaja cenderung ke arah itu. Begitu songsang dan asing bagi mereka. Aku tidak meminati apa yang sedang digilai anak-anak sebayaku ketika itu. Jika mereka bangga bersarong dengan pakaian hip hop dan grunge, aku pula bangga dengan catan batik dan tenun songket. Saat mereka terbuai dengan lagu Usher dan Rihanna, aku terhibur dengan ghazal, keroncong dan alunan unik muzik nusantara.

Namun jangan disalah erti, aku bukan menolak pembaharuan dan kemodenan. Walaupun aku mengagumi seni dan budaya dan dianggap tradisional oleh kawan-kawanku, tidak pula hingga ke tahap menjalani kehidupan seperti zaman Kesultanan Melayu Melaka. Aku hanya anak muda seperti biasa. Gemar berhibur, bersosial, dan suka akan pembaharuan. Cuma anehnya aku, aku tidak betah melihat budaya bangsaku dipijak, diherdik, dihina oleh anak cucunya sendiri. Budaya yang kaya dengan falsafah, sastera, nilai, amat sayang sekali jika dibiar mati. Lebih malang lagi oleh anak bangsanya sendiri.

Bagiku melupai asal usul bangsa sendiri umpama hidup dalam kegelapan. Seperti dalam novel Manikam Kalbu karya Faisal Tehrani, lebih kurang begini maksudnya, saat barat berada dalam zaman kegelapan, kita sudah pun mempunyai minyak wangi, deodoran, dan baju indah berseni. Sejarah dan bukti pada hari ini telah menunjukkan betapa hebatnya masyarakat dahulu. Kalau tidak, masakan ada pencipta baju kurung yang kita pakai sehingga hari ini, mencipta sistem udara untuk rumah dengan mengukir dinding dengan ukiran yang halus dan bermacam-macam lagi.

Kita menganggap mereka kolot kerana pada zaman itu tiada motor kris,yang ada hanya keris, tiada Facebook cuma bergotong -royong sebagai salah satu cara bersosial, tiada telefon, kereta, dan segala kemudahan yang ada hari belum wujud pada zaman dahulu. Ini kerana, kita hidup mengikut keadaan dan kehendak zaman. Tidak mustahil jika nenek moyang kita melihat kehidupan zaman ini, mengatakan zaman ini banyak kekurangannya. Dahulu, makan nasi beras tanam sendiri. Sekarang import. Sudahlah import tidak selamat pula dengan racun serangga. Dahulu hidup berjiran bertamah-ramah, sekarang jangan ditegur anak jiran buat salah, pasti kena maki. Dahulu baju direka berserta dengan falsafah agama, sekarang pakai baju untuk cukup syarat. Kononnya sekarang lagi maju, tapi lihatlah masalah moral sama seperti zaman jahiliyah.


Untuk lebih faham, cuba lihat ayat di bawah ini..

"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal".(Surah al-Hujurat ayat 13)

Ayat ini menunjukkan Allah telah menjadikan manusia dengan ciri-ciri tersendiri. Setiap kaum ada kelebihan dan keunikannya. Malah disuruh untuk kita saling kenal-mengenali. Jika kita menolak apa yang telah dikurniakan, seolah-olah kita enggan bersyukur dengan anugerahNYA dan apa yang telah ditetapkan. Mempertahankan adat resam bangsa sendiri bukan bermaksud menidakkan hak bangsa lain, tetapi saling berbangga dan mensyukuri dengan kelebihan yang diberikan dan berkongsi keindahan tersebut.


Pada pandangan aku untuk menjadi maju, kita tidak perlu menukar kulit kita kepada apa-apa bangsa sekalipun. Yang perlu ditukar adalah sikap kita sendiri. Maju atau mundur kita sendiri yang menentukan. Perangai suka meniru-niru atau angguk-angguk geleng-geleng tidak akan membawa ke mana-mana. Jika buruk apa yang ditiru maka buruklah jadinya.

Mujurlah aku dilahirkan sebegini minatnya. Biarpun asing di mata orang, dalam hatiku ia tetap sebati. Jadilah seperti ikan, walaupun hidup di air masin, namun rasanya tidak masin melainkan setelah dimasak. Begitulah jiwa, jika jiwa hidup susah sekali untuk dipengaruhi. Malangnya jika jiwa kita mati, begitu senang dibentuk dengan acuan asing. Umpama memasak ikan, ikan yang telah mati akan mengikut apa-apa sahaja rasa yang kita inginkan. Jika asam pedas, maka asam pedaslah jadinya.