31.3.11

Ingat hebat sangat la makan kat hotel!!

Ramai antara kita yang berasa bangga tidak terhingga kalau dapat makan di hotel. Tak fikir dah halal ke haram, yang tahu sedap. Lagipun, kebiasaannya dinner di hotel kan bayar dengan duit sendiri terutamanya dinner kolej atau persatuan. Rugilah kalau tak makan puas-puas.

Baca ini. Ingat sedap sangat ke makan kat hotel. Ntah apa benda yang depa masuk dalam makanan. Jangan ingat dalam kuah kari tak da lemak babi, dan jangan ingat makanan haram tu daging babi dan arak je. Banyak aspek kena fikir dan perhatikan. 

Dulu ada satu seminar produk halal di USM, dalam seminar tu ada dibuktikan pengakuan seorang tauke Cina yang mengatakan 
"Orang Melayu kata saja tak makan babi, tapi kalau umur sudah 40 tahun, dah sekor babi dia makan."

Mana taknya, dalam coklat, serbuk kari segala bagai ada macam-macma benda haram.

Apa-apa pun baca ini dulu.

Pengakuan Chef Hotel 5 Bintang

Assalamualaikum,
Pada hari Ahad yang lepas, sekiranya anda mendengar siaran Radio 24 bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pada jam 2 pm , terdapat satu wawancara yang sangat menarik di antara Pengulas Radio 24, Tokki dan 2 orang Chef.
Isu ini begitu menarik sehinggakan saya terasa rugi jika tidak mendengar celoteh mereka walaupun hanya hendak bangun ke tandas. Isu kepenggunaan kali ini ialah tentang Halal atau Tidak Halal Makanan yang Dihidangkan di Hotel 5 bintang.
Seperti yang kita maklum, waktu orang Islam berpusu-pusu untuk makan di Hotel 5 bintang ialah ketika bulan Ramadhan. Bukan sahaja individu, malah syarikat-syarikat juga menjamu pekerja-pekerja dan pelanggan masing-masing di Jamuan Berbuka Puasa di Hotel 5 bintang. Maklumlah, Setelah penat dan lapar berpuasa pada siangnya, tentulah waktu untuk berbuka itu sewajarnya diiringi dengan juadah-juadah yang lazat dan sedap.
Tetapi jangan terkejut kerana hidangan anda di Restoran 5 Bintang itu belum tentu HALAL. Apa hukumnya puasa anda sekiranya berbuka dengan makanan yang Haram?
Yang menariknya di dalam program ini, 2 orang Chef telah bersama-sama menceriakan rancangan ini. Apa kata mereka?
Salah seorang Chef memberitahu, dari pengalamannya dahulu, di dalam retoran hotel 5 bintang yang menghidangkan buffet, terdapat 5 bahagian dapur masakan (Masakan Melayu, Masakan Barat, Masakan Cina.... tak ingat lagi dua). Setiap satu dapur diketuai seorang Chef yang dipanggil Eksekutif Chef. Di dalam buffet, setiap dapur akan memasak makanan tertentu untuk buffet tersebut. Resepi-resepi untuk makanan yang dimasak daripada setiap dapur adalah hak mutlak Eksekutif Chef. Ini bermakna tiada orang lain berhak memberi komen tentang resipi yang telah ditetapkan oleh Eksekutif Chef.
Eksekutif Chef ini terdiri daripada orang yang pakar dan ahli di dalam masakannya untuk menjaga kualiti makanan yang dihasilkan (5 bintang lah katakan...). Sekiranya Dapur Masakan Melayu tentulah eksekutif Chefnya adalah seorang Melayu. Sekiranya western maka pakarnya tentulah orang dari luar negara, begitu juga masakan cina dan lain lain.
Sesetengah Chef yang mungkin berasal dari luar negara mempunyai cara memasak mereka yang tersendiri. Jika mereka sudah biasa meletakkan arak di dalam makanan di luar negara, mereka pasti akan meletakkan Arak ketika memasak di dapur sini.
Salah seorang chef berkata, ketika beliau baru memulakan kerjayanya, beliau melihat bagaimana arak dituang di dalam sup bawang (onion soup) yang dimasak di Hotel 5 bintang ini. Chef itu juga berkata, di atas ruang rak tempat memasak sup-sup, berbaris berjenis-jenis botol arak bersama-sama dengan rencah-rencah lain untuk dibuat sup. Jika tidak silap saya, bukan sup sahaja makanan yang mengandungi arak.
Selain daripada Arak , ada yang lebih menarik lagi tentang pendedahan ini. Menurut chef tersebut, terdapat dua mesin pengisar daging di dapur tempat beliau bekerja. Satu bertulis "PORK" pada papan tanda berdekatan dan satu lagi bertulis "NON-PORK". Tapi dia amat kecut perut.. bila semua orang seperti tak nampak (atau buat-buat tak nampak) sahaja papan tanda itu... Kejap yang pork dimasukkan ke mesin yang ini, sekejap yang di sana ... sehinggakan, beliau terpaksa mengangkat tanah dan air untuk mencuci mesin tersebut setiap kali habis bertugas. Yang memakan masakan itu pula ialah kita.
Pada kebiasaannya, sesetengah hotel mengasingkan pinggan yang digunakan untuk menghidangkan khinzir di satu tempat yang berasingan untuk dicuci. Ini adalah kerana, pencuci pinggan dahulunya adalah di kalangan orang Islam. Tetapi menurut chef itu sekarang, pencuci pinggan adalah di kalangan orang Myanmar dan Bangladesh . Mereka bukannya tahu pinggan mana yang ada khinzir ataupun tidak. Untuk memudahkan kerja, semuanya dicampurkan sekali. Habis semuanya....
Chef itu juga ada bercerita tentang kek-kek yang dihidangkan yang mempunyai arak, contohnya tiramisu. Banyak juga dessert dan kek yang tidak halal dihidangkan.
Adakalanya, daging yang di grill, ayam-ayam atau makanan yang dibakar adalah halal. Begitu juga dengan makanan laut. Namun, Chef menasihatkan agar lebih berhati-hati dengan pelbagai sos atau pencicah yang disediakan bersama kerana ia dikhuatiri tidak halal.

Ada juga pada waktu waktu tertentu chef ini akan keluar dan melihat-lihat para pelanggan. Sekiranya beliau melihat orang Islam mendekati makanan-makanan yang tidak halal, maka dia akan mendekati mereka dan berbisik "Encik, makanan ni tidak halal...". Tapi tentulah banyak daripada masa mereka berada di dalam dapur. Jadi nasiblah kepada para pelanggan Islam yang lain sekiranya tidak sengaja menikmati makanan yang haram.
JAKIM telah memberi sijil Halal kepada 3 buah hotel sahaja tetapi sampai tamat program wawancara Radio 24 itu, saya tidak dapat menangkap nama Hotel 5 Bintang yang mana satu. D'Saji Felda telah diiktiraf Halal oleh JAKIM menurut Tokki (PPIM) cuma ia bukan nama Hotel 5 Bintang yang ingin saya dengar.
Saya berasa sangat terkesan di dalam hati apabila mendengar program ini dan pendedahan pengalaman-pengalaman daripada 2 orang Chef jemputan. Salah seorangnya kini telah menjadi Ketua Chef untuk Tabung Haji dan salah seorang lagi bertugas sebagai pengurus di sebuah syarikat makanan. Ia menjadi pengajaran kepada kita bahawa makanan yang nampak mahal dan sedap itu tidak semestinya memberi manfaat kepada kita.
Sekiranya anda tahu Hotel 5 Bintang yang diiktiraf Halal oleh JAKIM sila kongsikan kepada semua pembaca.
Wassalam...

Untuk lebih banyak entri pasal halal klik sini. Ingat mencari yang halal itu wajib. Solat tak diterima tau kalau makan makanan haram. Astagfirullahaladzim.

30.3.11

Pilihan Jalanraya

ASPIRASI REVOLUSI SAMA – BAIK DI ARAB MAHUPUN DI MALAYSIA

Forum Revolusi Dunia Arab - Pedoman kepada rakyat Malaysia anjuran Biro
International Parti Sosialis Malaysia( PSM) berjaya mencetuskan satu persoalan penting – jalan mana yang patut diambil. Menghancurkan struktur kapitalis dan diganti dengan dengan struktur baru sosialis seperti yang diluangkan oleh Hishamuddin Rais atau mencari persamaan dan mengujudkan gerakan nasional menjatuhkan rejim UMNO-BN seperti ayng diluangkan oleh Che Bard.

Forum yang penuh sejak dihadiri oleh ramai anak muda mempertengahkan empat pengulas penting – Prof Aziz Bari dari UIA, Sdr. Hisham Rais, Saudara Chegu Bard dari Solidariti Anak Muda Malaysia dan Komrad Choo Chon Kai dari Parti Sosialis Malaysia.
Prof Aziz Bari berkata semua kerajaan yang tumbang di Arab sebelum ini seolah-olah mempunyai sokongan rakyat dan menang besar dalam pilihanraya tetapi semasa kebangkitan rakyat, nampaknya rakyat berpaling tadah. Inilah mungkin persamaan di Malaysia.

Chon Kai memberikan satu sejarah komprehensif kebangkitran rakyat di Tunisia, Mesir dan Libya. Beliau berkata rakyat bangkit bukan kerana demokrasi kerana protes terhadap sistem kapitalis yang memiskinkan rakyat majoriti. Beliau berkata perlu ada organisasi yang jelas untuk membawa aliran rakyat ke hadapan kerana jika tidak, US dan imprerialis akan hijack.

Hisham Rais berkata kita bukan nak tukar daging. Yang perlu adalah pertukaran sistem itu sendiri. Beliau berkata bahawa jalan pilihanraya adalah jalan yang tipu dan satu sandiwara besar sistem kapitalis. Kita kena debat dan kita kena turun ke jalanraya, katanya.

Chegu Bard berkata bahawa kita perlu mencari persamaan dan ia mestilah berdasarkan kepentingan nasional. Kita kena bersatu sekarang dan kita kena jalankan dua jalan iaitu jalan pilihanraya dan jalanraya seiring. Beliau menyeru anak muda untuk besedia memimpin gerakan perubahan ini.

Pelbagai isu ditimbulkan oleh peserta forum dan pelbagai ulasan dilemparkan tetapi forum berakhir dengan persoalan bahawa Revolusi di Arab tak banyak beza dari negara kita dan boleh berlaku disini. Penukaran sistem atau penukaran pemimpin ? Pilihanraya atau Jalanraya ? Apakah titik persamaan ? Inilah ide-ide yang muncul dalam forum ini yang cukup memberangsangkan . Lenin pernah berkata Adalah lebih baik mengalami satu revolusi daripada menceritakan mengenainya. Ayuh ! kita membawa perubahan di negara kita.

Berita - PSM HQ

-- Kuala Lumpur, 23 Mac 2011

28.3.11

Rakyat sudah bosan!

Sekarang ini aku dah malas nak ambil tahu hal politik. Bukan bermaksud tak ambil tahu langsung, tapi sudah muak dengan pelbagai kontroversi. Aku menolak UMNO/BN yang memang tak boleh harap dan mengharapkan PKR dapat membela kaum rakyat. Malangnya, satu demi satu kontroversi berkaitan seks, dari kes liwat hingga kes dengan Datuk T. Kebenarannya, hanya Allah dan dia saja yang tahu. Yang atas kecoh pasal hal ni, rakyat pula tetap terbeban dengan situasi ekonomi. Sokong PKR pun tak ada perubahan, dalam parti pun ada pengundi hantu. Sama je dua-dua parti ni!

Aku benci pada sikap yang menyokong membabi buta. Ada akal, ada mata, ada telinga, ada tangan dan kaki, gunakan deria ini untuk menilai. Bukan menegakkan benang basah sampai mengeluarkan alasan yang tak logik.

Ada beberapa perkara yang membuatkan aku sudah jauh hati dengan PKR berdasarkan beberapa pengalaman peribadi aku. Salah satunya ialah pasal pendidikan. Adik sedang aku belajar di kolej swasta sejak setahun lepas. Pada permulaannya, adik aku cuba mohon wang saguhati daripada kerjaaan Negeri Pulau Pinang untuk pelajar yang layak melanjutkan pelajaran. Malangnya, syarat yang dikenakan ialah hanya yang melanjutkan pelajaran di IPTA sahaja dibenarkan memohon. IPTS bagaimana? Bukan semua yang masuk IPTS tu kaya. Semua orang bayar cukai, kenapa ada double standard? Aku tidak marah jika adik aku tidak dapat. Tetapi aku marahkan polisi yang berat sebelah. Macam ini ke nak bela rakyat? Dah lama aku mengamuk pasal ini, tapi orang PKR bagitahu kerajaan tak ada duit. 

Kalau dua-dua parti ini tak boleh harap, siapa yang boleh kita harapkan? Aku hanya percaya kepada kuasa rakyat. Tapi berapa ramai yang sanggup bangun? Arghhh!!!

25.3.11

Raikan Kehidupan

Gambar Hiasan -  kawan-kawan di tempat kerja..3 prospek..hhuh
Kehidupan penuh dengan warna. Ada warna gembira, kecewa, sedih, cinta, terharu dan macam-macam perasaan yang bercampur. Tetapi, adakalanya sukar melihat kekurangan apabila bahagia lebih terang warnanya.

Sejak berhijrah ke Kuala Lumpur, kehidupan di sini telah mengajar aku makna kebahagiaan. Aku berpendapat kebahagiaan bukanlah diukur dengan berapa banyak nilai wang yang kita ada, sebagus mana jenama pakaian yang dipakai, sehebat mana kenderaan yang kita pandu. Tetapi kebahagiaan itu hadir apabila kita sanggup menerima keadaan dengan hati terbuka dan persahabatan yang ikhlas serta kekuatan hubungan keluarga.

Semasa di tahun 2, aku mengalami masalah kewangan yang agak kritikal. Tambahan pula waktu ialah waktu kemelesetan ekonomi 2008. Untuk meringankan beban, aku menjadi ejen direct selling berasaskan akupuntur sewaktu habis kelas. Kerja aku ialah mencari 'calon' untuk buat pemeriksaan. Kalau ada yang beli produk, adalah duit, komisen 20 percent, tidaklah banyak. Hanya lepas untuk bayar cetakan assignment. Lainlah kalau jadi ejen pembelian kapal selam. Pernah juga aku bekerja sebagai krew di McDonald Jalan Petaling, cuma empat hari. Lepaslah juga untuk beli top-up untuk menguruskan projek di fakulti. Walaupun menjalani kehidupan dengan kekurangan, syukur aku masih boleh bernafas dengan bantuan keluarga dan kawan-kawan yang sentiasa memberi sokongan dan pertolongan. Mereka sangat memahami dan inilah kebahagiaan aku.

Pengalaman selama dua bulan menyewa di flat Kg. Kerinchi bersama enam orang teman serumah sukar untuk aku lupakan. Walaupun rumah tersebut hanya ada satu bilik, tapi kami dapat hidup bagaikan adik beradik walaupun baru berkenalan. Rumah itu tidak pernah sunyi daripada gelak ketawa, sikit atau banyak semuanya dikongsi. Mungkin keserasian ini lahir kerana latar hidup kami hampir sama, berjuang untuk hidup.

Kami semua belajar dan sedang bercuti semester. Cuma aku dan dua lagi sedang menjalani latihan praktikal. Sahabat yang pertama, bekerja sambilan sebagai jurujual. Pagi di tempat lain, dan petang di tempat lain. Seorang lagi dengan MLM, dan lagi seorang namanya sama dengan nama aku, juga jiran aku di kedai kuih Pasar Seni. Hehe. Gaji yang diterima untuk dua hari bekerja sebagai jurujual digunakan untuk menyara kos hidup seminggu. Kami makan seadanya, tapi tetap kenyang dengan memasak secara 'gotong royong'.

Menempuh pengalaman sebegini menjadikan fikiran lebih matang. Keindahan hidup bukan bergantung kepada material, tapi apa dalam hati kita. Ikhlas, redha, kasih dan ingatan kepada NYA sentiasa. Inilah warna-warna mencorakkan kegembiraan.

24.3.11

Sekolah: Jalan sampai dapat



Sengaja aku menulis mengenai zaman persekolahan, memandangkan mood keputusan SPM masih berbahang.

Bukan budak pandai

Aku bukanlah seorang pelajar yang gred A sewaktu di sekolah tadika hinggalah ke universiti. Gred A maksud aku ialah murid yang selalu meraih skor yang tinggi dalam peperiksaan. Tapi, dalam sesetengah waktu, aku ada juga keputusan yang boleh dibanggakan. Terutamanya sewaktu darjah dua darjah tiga. Di sekolah menengah, aku berada di kelas pertengahan. Dalam sesetengah subjek yang kritikal, warna pen merah lebih dominan dalam buku laporan.

Keputusan UPSR aku tidaklah sehebat mana. Cuma ada 1A dan sangat sederhana. Bagi aku itu sudah cukup baik dan sesuai dengan keupayaan aku. Tambahan pula, sewaktu darjah 6 sahaja aku jarang ponteng. Selebihnya, rumah adalah sekolah bagi aku. Begitu juga dengan PMR, hanya 1A dan 1B, lagi enam subjek ada D dan C. E bermakna gagal. Tapi aku tidaklah sedih dan tertekan dengan keputusan tersebut biarpun ada yang memperlekehkan keupayaan aku. Setiap masa aku percaya dengan kebolehan diri dan sudah berimaginasi, sekurang-kurangnya jika tidak mempunyai kerjaya yang hebat, aku memiliki butik pakaian yang dijahit sendiri atau bakery atau kedai bunga. Bekerja dengan kemahiran dan kreativiti. Mujur emak dan bapa tidak mendesak dan membiarkan aku memilih minat sendiri. Pada waktu itu, aku sudah berbincang dengan emak untuk memiliki perniagaan tesebut.

Terkandas depan tv

“Awak ni bukan tak pandai, tapi pemalas”
“Ada pelajar yang bagi karangan guna esei dalam yang sama dengan esei oral. Dia cuma tukar nama saja. Very clever girl.” Itu antara kata-kata guru yang masih aku ingat sewaktu di tingkatan 4 dan 5. Aku bukanlah nakal sangat, tapi adakalanya aku buat kerja nakal untuk menyelesaikan masalah. Dalam kelas aku seorang yang fokus, dan jika ada rakan-rakan yang mebuat bising, aku akan marah. Tapi aku agak bermasalah menyiapkan kerja rumah dalam sesetengah subjek. Keinginan untuk berjaya sentiasa ada, namun kerja rumah sering terkandas di hadapan televisyen terutamanya hari Selasa malam kerana ada tayangan filem dari Hong Kong.

Apabila timbul kesedaran, aku kerap mengulangkaji walaupun seorang diri sedangkan aku lebih suka berkumpulan. Bila belajar berkumpulan, lain pula jadinya. Hasilnya, aku hanya memperoleh empat kredit dalam SPM dan tiada langsung A yang sering dijadikan kayu ukur kejayaan. Hanya sekadar ingin berkongsi, dalam matapelajaran Pendidikan Islam pun aku hanya dapat mata yang tercorot. Sedangkan ramai yang mampu meraih keputusan yang baik. Jika melihat keputusan, mungkin aku dilabel manusia jahil. Ha..ha. Namun aku berpendirian, belajar agama bukan sekadar menghafal surah dan jawapan untuk menjawab peperiksaan, tetapi memahami apa yang dituntut melalui surahNYA dan melaksanakan kehidupan dengan NYA yang sentiasa bersama kita. Banyak lagi yang perlu dicari dalam agama ini. Syukur Alhamdulillah. Dengan keputusan ini aku masih lagi diterima keluarga. Paling aku ingat, Pak Cik aku mengucapkan tahniah. Aku tetap bahagia dengan kehidupan aku.

Fasa baru dalam sekolah

Tingkatan 6 adalah kemuncak dalam sejarah persekolahan aku. Dalam empat peperiksaan yang aku lalui, inilah yang paling cemerlang. Di peringkat awal tingkatan 6, pada minggu pertama aku begitu nekad untuk belajar bersungguh-sungguh. Tapi bila sampai di pertengahan jalan, aku hilang semangat dan seolah-olah tiada hala tuju. Tetapi dalam masa yang sama, keinginan aku kuat untuk berjaya. Aku tidak mahu lagi mengulangi pengalaman sebagai pekerja kilang.

Aku menjalani pengajian ini dengan ala kadar sahaja. Maklumlah, buku-buku rujukan sangat mahal. Untuk itu, aku meminjam buku daripada rakan atau guru dan buat salinan fotokopi. Ada juga guru-guru yang bermurah hati meminjamkan buku rujukan. Buku ekonomi terutamanya, aku sewa daripada guru dengan bayaran 10 sen sehari. Lama-kelamaan, aku dapat meminjam secara percuma, mungkin kerana prestasi aku semakin baik. Agaknyalah.

Seorang lagi guru mikroekonomi, meminjamkan aku bukunya edisi lama setelah melihat aku menggunakan buku kakak yang silibusnya telah sedikit bertukar. Namun masih relevan untuk digunapakai. Kawan-kawan aku banyak juga yang ke tuisyen, tetapi kerana bayarannya agak mahal, aku memilih inisiatif sendiri dengan membuat sendiri ulangkaji dan merujuk dengan guru. Hasilnya, syukur! keputusan aku juga lebih baik daripada yang mengikuti tuisyen.

Ada satu perkara yang mungkin membuatkan aku ingat hingga mati. Bayangkan, aku hanya memperoleh 5 markah untuk subjek ekonomi dalam ujian percubaan. Sedangkan cuma ada 7 bulan saja lagi untuk peperiksaan sebenar. Paling tidak boleh dilupakan, disebabkan ramai gagal, cikgu minta kami menulis 'kenapa gagal?. Aku menulis dengan perasaan menyesal dan di hujung nota aku meminta maaf kepada cikgu dan berjanji untuk buat lebih baik. Dari situ, aku berjaya mendapat keputusan yang baik sehingga melayakkan ke universiti.

Hitam dan putih

Dalam salah satu entri, aku ada menceritakan pengalaman di universiti yang kerap tidur dalam kelas dan adakalanya tidur di surau beberapa minit, selepas itu masuk semula ke dalam kelas. Ada juga kelas yang aku mampu memberi fokus dengan baik dan mengambil kesempatan berbincang dan mengemukakan pendapat. Bergantung kepada kandungan subjek dan keupayaan pensyarah menjadikan kelas itu menarik.

Biarpun aku agak 'teruk' dalam kelas, dunia aku bukan terhad di situ. Aku percaya, pelajaran di dalam kelas dan tugasan tidak mampu membuatkan kita berjaya sepenuhnya. Kunci kejayaan ialah attitude kita sendiri dan bagaimana kita membentuk diri kita untuk berjaya. Sebagai persediaan untuk laku dalam pasaran kerja dan memenuhi impian, aku terlibat dalam dalam pelbagai persatuan dan projek dan aku tidak suka persatuan yang didominasi oleh satu-satu kaum. Oleh itu, aku pernah bekerja dengan komuniti yang majoriti ahlinya kaum Cina dan bekerjasama dengan pelbagai peringkat masyarakat. Aku juga sangat aktif dalam Persatuan Bahasa Melayu Univerti Malaya (PBMUM) dan aktiviti berkaitan media. Salah satu perangai aku ialah boleh bergaul dengan sesiapa sahaja tidak kiralah pensyarah, pelajar asing, atau tukang cuci. Seronok sebenarnya bila bergaul dengan ramai orang. Terasa bebas dan terbuka.

Mungkin inilah seperti yang dikatakan pepatah, apa yang ditabur, itu yang dituai. Walaupun aku bukan lulus dengan ijazah kelas pertama, dan pointer aku cuma kurang 0.01 untuk mencapi kelas ijazah kelas dua atas, namun aku mampu mendapatkan kerjaya yang aku inginkan sejak kecil biarpun tidak kaya-raya, jauh sekali mewah. Tetapi inilah yang membuatkan kehidupan aku puas dan ini juga kebahagiaan. Bukan sekadar kerjaya, aku juga mudah mendapat kawan yang sangat membantu dalam kerjaya dan minat serta dikelilingi sahabat dan keluarga yang sangat memahami.

Raikan kehidupan dengan apa yang kita miliki dan tidak semestinya sesuatu yang kita lakukan harus mendapat pencapaian yang sempurna. Kejayaan itu luas pengertiannya, dapat mengatasi kekecewaan juga satu kejayaan.

22.3.11

Penjenayah Tanpa Wajah...Awas!

Jenayah tanpa wajah (sumber Sinar Harian)

KETIKA sedang memandu kenderaan menuju pejabat setelah pulang daripada melakukan tugas harian, Fazli (bukan nama sebenar) mendapat panggilan daripada seorang wanita. 

Dia yang menggelari dirinya sebagai Amy cuba menawarkan peluang memperoleh ‘keistimewaan’ pakej pelancongan. 

Ketika itu, Fazli cepat-cepat mengatakan tidak berminat. Mungkin kerana dua perkara iaitu pertama, sedang memandu dan keduanya, tidak percaya dengan tawaran yang akan diberikan. 

Perbualan kemudiannya berakhir di situ dan Amy berjanji akan menghubunginya semula. 

Seminggu kemudian, ketika Fazli sedang bertugas di Temerloh, Pahang, Amy sekali lagi menghubunginya. 

Ketika itu Fazli sedang berehat di rumah sewa setelah seharian bertungkus-lumus melakukan tugas yang diamanahkan. 

Panggilan itu dilayan dengan sapaan manis Amy. Segala penerangan yang diberikan cukup lengkap. 

Antaranya, anda akan mendapat potongan harga di semua hotel di Malaysia dan beberapa negara luar yang terpilih. Anda juga akan mendapat baucer penginapan dan yang paling menarik, nyawa anda akan dilindungi melalui insurans sepanjang hayat. 

Menarik bukan? Tetapi Fazli masih tidak percaya. Amy meneruskan peranannya cuba memujuk. 

Katanya, syarikatnya sudah lebih 11 tahun beroperasi dan berdaftar dengan Bank Negara. Entah di mana silapnya, Fazli percaya seperti dipukau. 

Laman sesawang yang diberikan, dilayari. Semua arahan Fazli turuti. Sehinggalah pada satu ketika yang terus mengubah situasi Fazli. 

Amy terus meminta nombor yang tertera pada satu kad banknya. Tanpa sebarang syak dan ragu, Fazli terus memberikannya tanpa sebarang pertanyaan. 

Bermula daripada situ, Fazli sedar bahawa dirinya sudah ditipu. Kebetulan waktu itu, baru tiga hari gaji. 

30 hari bersusah payah mendapatkan wang gaji, dalam sekelip mata, wang itu lesap! 

Itu kisah benar yang berlaku kepada rakan penulis. 

Mudah bukan? Itu yang akan dibincangkan minggu ini dalam ruangan MODUS OPERANDI, iaitu ‘jenayah tanpa wajah’. 

Apa yang dimaksudkan dengan jenayah tanpa wajah? 

Jenayah tanpa wajah adalah jenayah di alam maya, iaitu sama ada melalui panggilan telefon, sistem khidmat pesanan ringkas (SMS), emel, atau melalui ruangan sosial. 

Kita tidak mengenali muka penjenayah itu tetapi kita boleh percaya dengan apa yang diperkatakan. 

Mengapa semua ini boleh terjadi? Mengapa sewenang-wenangnya kita boleh mempercayai seseorang itu tanpa mengenali individu terbabit? 

Walaupun sebelum ini media sering kali melaporkan sindiket penipuan sedemikian, tetapi cukup mudah untuk orang lain iaitu mangsanya terjerat. 


Jenis sindiket penipuan 

Terdapat pelbagai modus operandi sindiket menggelapkan wang mangsa. Antaranya ada yang secara terangan. Ada juga yang menjual produk atau perkhidmatan tetapi selepas itu, keistimewaan yang diperoleh tidak seperti yang dijanjikan. 


Penipuan secara panggilan 

Penipuan secara ini membabitkan panggilan daripada seseorang yang mendakwa dari sebuah syarikat. Biasanya mereka dikenali ejen telepemasaran. 

Mereka juga menyatakan mewakili sebuah syarikat atau institusi tertentu. Mereka pandai mempengaruh pengguna dengan tawaran menarik. 

Transaksi pembayaran sama ada melalui pemindahan wang atau melalui kad kredit. Semua itu dilakukan menerusi satu panggilan tanpa bersua muka. 

Nombor yang digunakan tidak tertera pada panggilan telefon bimbit anda. Ada juga yang menggunakan nombor yang bila dihubungi semula, tiada jawapan daripada ejen terbabit. 

Modus operandi yang digunakan cukup menarik. Mereka menyatakan anda terpilih sebagai pelanggan istimewa. Segala tawaran yang diberikan membuatkan anda boleh putih mata. 

Mereka juga akan bertindak meminta nombor pin atau nombor rahsia (CCV) bagi kad kredit atau kad bank. Tujuannya, mereka nyatakan mahu membuat semakan dengan pihak bank, sama ada nama anda disenarai hitam, akaun masih aktif atau tidak dan sebagainya. 

Tidak hanya di situ, mereka juga meminta nama penuh anda, nombor telefon lain, alamat rumah dan segalanya berkaitan butir peribadi, bagi mengaburi mata mangsanya. 

Bagi mengukuhkan lagi helah sindiket, mereka juga akan menjaja nama syarikat dan akan meminta mangsanya melayari laman sesawang yang dikatakan milik syarikat terbabit. 


Penipuan melalui SMS 

Kaedah ini boleh dianggap cukup popular digunakan sindiket. Penipuan hanya digunakan melalui SMS. 

Pengirimnya dikatakan mewakili sebuah syarikat minyak dengan menyatakan nombor telefon pelanggannya terpilih memenangi wang tunai beribu-ribu ringgit. 

Apa yang perlu dilakukan, pelanggan perlu menghubungi nombor panggilan yang dilampirkan. 

Penulis berkesempatan menelefon nombor tersebut, dan seorang lelaki, dipercayai bukan warga negara ini, menyambut panggilan tersebut. 

Perkataan ‘tahniah’ tidak lekang dari bibir lelaki itu. Dia seolah-olah gembira dengan pemilihan nombor telefon penulis. 

Apa yang diperlukan, mereka meminta nombor kad pengenalan dan nombor akaun penulis. Katanya mereka mahu memasukkan wang tunai yang penulis menangi. 

Tetapi, semua nombor yang dikehendaki tidak diberikan dan penulis menyatakan, “Kalau saya menang, kita perlu bersua muka”. Perbualan berakhir di situ. 

Biarpun sindiket menggunakan SMS itu tidak berjaya menjadikan penulis sebagai mangsa, tetapi berapa ramai yang telah menjadi mangsa. 


Penipuan melalui e-mel atau laman sosial 

Penipuan ini biasanya mengambil masa yang boleh dikatakan agak lama. Ini kerana, penjenayah perlu memastikan mangsanya benar-benar mempercayai sindiket tersebut. 

Pada mulanya mereka berkenalan sama ada melalui e-mel ataupun laman sosial seperti Facebook. 

Mereka ini di anggap sebagai rakan, tidak seperti telepemasaran yang hanya dikenali hanya melalui panggilan telefon. 

Ada beberapa kes yang di laporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), mangsa-mangsanya pernah menjalin cinta dengan rakan maya mereka ini. 

Beberapa kes lain juga dilaporkan di mana, penjenayah tanpa wajah ini mengatakan kepada mangsanya bahawa mereka mempunyai harta pusaka di luar negara yang diwasiatkan oleh keluarga rakan yang dikenali itu. 

Bagaimanapun, untuk memperoleh wasiat berjuta-juta ringgit itu, mangsanya perlu menanggung kos penghantaran barangan tersebut. 

Setelah dibayar, barangan tersebut pula dikatakan ditahan Kastam Diraja Malaysia (KDRM). 

Mangsa pula perlu membayar cukai Kastam untuk melepaskan barang tersebut, tetapi akhirnya menyedari ditipu setelah mengalami kerugian yang besar. 


Skim cepat kaya 

Biarpun skim cepat kaya bukan dikategorikan sebagai jenayah tanpa wajah, tetapi modus operandi yang digunakan dianggap serupa. 

Ahli sindiket meyakinkan mangsa-mangsanya supaya melabur dalam skim yang ditawarkan. Pulangan yang diperolehi amat lumayan. 

Apa yang dilakukan hanyalah mengisi boring dan menyerahkan wang pelaburan yang dipinjam daripada bank tempatan. 

Selepas beberapa ketika, pulangan yang dijanjikan tidak diperolehi. 

Tahun lalu, PDRM menumpaskan satu skim cepat kaya yang telah memperdayakan ratusan mangsanya. 

Mereka hanya berbekalkan risalah-risalah dan memandu kenderaan mewah bagi meyakinkan pelabur baru. 

Mereka licik mencari mangsa supaya melabur dalam skim terbabit dengan jumlah minimum RM10,000 sehingga RM41,000. 

Malah bantuan mendapatkan pinjaman daripada bank dan koperasi turut diatur oleh skim terbabit bagi bakal-bakal pelabur yang berminat. 


Punca menjadi mangsa 

Berbicara bersama Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, satu-satunya punca yang menyebabkan orang ramai menjadi mangsa adalah TAMAK! 

Tamak untuk mendapat hadiah, tamak untuk mendapatkan wang ringgit dengan mudah dan tamak inginkan kejayaan merubah kehidupan. 

Itu yang menjadi dorongan orang ramai menjadi mangsa kepada ‘jenayah tanpa wajah’. 

Sifat tamak itu menjadi pendorong seseorang itu mahukan wang atau kelebihan dalam sekelip mata. 

Oleh kerana ada sifat tamak itu, orang ramai ingin mencuba. Biarpun sebelum ini mengetahui amaran yang dikeluarkan PDRM melalui media massa, namun, perasaan tamak itu melahirkan tindakan ingin mencuba. 

Dengan anggapan bahawa mungkin akan mendapat keuntungan, mereka mengabaikan amaran awal yang telah dikeluarkan. 

Elak jadi mangsa 

Mengulas lanjut, Tun Hisan menyarankan orang ramai melakukan beberapa perkara supaya tidak menjadi mangsa terhadap sindiket penipuan ini. 

====Jangan dedahkan nombor kad pengenalan anda 

====Jangan dedahkan nombor pada kad bank 

====Jangan sewenang-wenangnya memberikan nombor akaun bank anda 

====Jangan dedahkan alamat rumah anda 

====Jangan dipaksa membuat keputusan 

====Jangan percaya terhadap pakej yang ditawarkan 

====Minta seberapa maklumat syarikat yang mereka wakili 

====Buat pemeriksaan nama syarikat tersebut 

====Letakkan telefon semasa mereka cuba memujuk anda 


Baru-baru ini, Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Asisten Komisioner Mohd Kamarudin Md Din mengingatkan para pengguna perkhidmatan perbankan Internet agar tidak mudah terpedaya dengan e-mel, SMS atau panggilan telefon yang meminta mereka mendedahkan maklumat perbankan. 

Ulasnya, kes penipuan melibatkan perbankan Internet meningkat dengan amat ketara. 

Mengikut statistik, pada 2009, 75 kes penipuan melalui perbankan Internet dilaporkan dengan kerugian berjumlah lebih RM200,000 dan ia terus meningkat dengan 353 kes dan kerugian kira-kira RM1.2 juta, pada tahun lalu. 

Jelas di sini, biarpun PDRM sudah melakukan pelbagai cara bagi mengelakkan orang ramai daripada menjadi mangsa, jenayah tersebut tetap berlaku. 

Modus operandinya tiada bezanya tetapi, cukup mudah orang ramai menjadi mangsa. Sedarlah semua, wang tidak akan jatuh tergolek di depan mata, semuanya memerlukan usaha sendiri. 

Jangan disebabkan sikap tamak, anda mengalami kerugian berlipat kali ganda.

Aku dan lagu

Aku sampai rumah semalam dah masuk maghrib. Elok masuk parking je, intro muzik yang keluar dari speaker radio membuatkan aku tertarik. Untuk menikmati lagu ni aku tunggu sampai habis. Sangat menusuk jiwa.


Lirik Lagu Kau Yang Satu (Ramli Sarip)

Kaulah yang Maha Esa
Kaulah yang Maha Pengasih
Kaulah yang Maha Penyayang
Tiada hidup tanpamu

Kaulah yang Maha Agung
Kaulah yang Maha Mengetahui
Tuhan dunia akhirat
Tiada aku tanpamu

Bilaku rasa pilu
Bilaku rasa resah
Bilaku kekosongan
Kau tempatku mengadu
Oh tuhan yang satu
Engkaulah tuhan yang satu

Segala puji-pujianku
Tujukan padamu..padamu
Dan hidup dan matiku hanyalah
Untukmu..untukmu...untukmu



Read more: http://www.liriklagumuzik.co.cc/2010/04/lirik-lagu-kau-yang-satu-ramli-sarip.html#ixzz1HICrDMHc

Lingkaran hujung minggu

Hajat di hati nak lepak di MPH hujung minggu ni, sambil membaca buku yang tak mampu dibeli, tapi apakan daya kena tunggu awal bulan. Minyak kereta perlu dicatu sehingga akhir minggu depan.  

Kawan sekerja minta aku temankan ke PWTC sabtu ini sempena pameran kerjaya, entahlah, tengok keadaan. Ada duit semua jalan.

Untuk bergaji besar aku perlu tunggu tiga atau empat bulan lagi. Aku bakal meninggalkan pekerjaan sekarang hujung bulan ni, dan mula di tempat baru sebagai trainee. Harapnya performance aku baik. Boleh aku bayar hutang PTPTN yang bawa Ah Long melalui pos.

Sepanjang bulan ni, tak ada hari yang aku duduk di rumah, minggu pertama ke Kuala Kangsar, ikut kawan balik kampung, aku pun dah lama tak melancong melencong, minggu kedua buat assignment di rumah Prof. Emiritus Datuk Dr. Mohd. Taib Osman sempena penganugerahan Tokoh Kencana PBMUM, minggu yang terbaru ada assignment di MPH, promosi buku oleh Ann Wan Seng dan persembahan teater 'Jebat Derhaka Tuah Bela', Ahad dengan Merong Mahawangsa, syukur pensyarah Cik Tuan belanja tiket wayang, minggu keempat, mungkin ke PWTC..ikut arus, kalau tiba-tiba ada rezeki turun dari langit atau muncul dari bumi. Yang pasti dari Allah yang Maha Pemurah.