7.2.11

Dah berjanggut tunggu harga turun

 Harga makanan seluruh dunia naik


2011/02/07

Permintaan tinggi punca peningkatan, bukan spekulasi 

DARIPADA burger McDonald di Amerika Syarikat (AS) sehinggalah gula di Bolivia dan cili di Indonesia, harga makanan menyaksikan peningkatan di seluruh dunia.

Malah, pakar memberi amaran bahawa pengguna dan kerajaan seluruh dunia perlu bersedia berdepan kenaikan harga lebih tinggi kerana permintaan kukuh dari negara yang sedang berkembang pesat dan mempunyai penduduk yang ramai akan terus memberikan tekanan kepada bekalan.
Gabungan faktor cuaca buruk, pertumbuhan kukuh di negara berkembang pesat serta kadar faedah yang rendah telah menyebabkan harga komoditi ladang dan bukan ladang, meningkat pada kadar sehingga dua angka. 

Walaupun kenaikannya hampir sama dengan apa yang berlaku pada 2007 dan 2008, namun penganalisis berkata, arah aliran kenaikan kali ini kurang terdapatnya unsur spekulasi, justeru ia dijangkakan tidak akan berakhir dengan kejatuhan harga besar-besaran seperti yang berlaku dua tahun lalu. 

“Keadaan adalah berbeza pada 2008. Kenaikan harga ketika itu hanya berlaku pada beberapa jenis makanan,” kata pakar pertanian Bank Dunia, Chris Delgado. 

“Apa yang berlaku sekarang adalah lebih meluas dan hampir seluruh dunia. Ia juga menyebabkan berlakunya keresahan politik,” tambahnya. 
Di Indonesia yang mana harga cili turut melambung, kerajaannya telah membekukan duti import bagi barangan makanan utama selepas inflasi di negara itu meningkat pada kadar tujuh peratus bulan lalu. 

Di Bolivia, gula dicatu bekalannya walaupun harganya meningkat 64 peratus. 

Di AS pula, kenaikan tinggi harga daging menyebabkan restoran, dari yang mewah sehinggalah McDonald terpaksa menaikkan harga hidangan masing-masing walaupun pendapatan rakyatnya tidak meningkat. 

Khamis minggu lalu, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FOA) PBB berkata, harga makanan mencapai paras tertinggi sejak mula mengukurnya pada 1990 dan keadaan itu boleh mencetuskan masalah politik. 

“Persoalannya, bukan lagi sama ada ada risiko atau tidak, tetapi di sesetengah tempat sudah pun berlaku rusuhan kerana kenaikan harga ini,” kata Ketua Eksekutif FOA chief Jacques Diouf. 

Ketua Ahli Ekonomi Standard Chartered Bank Gerard Lyons pula berkata, beliau menjangkakan harga komoditi akan terus menyaksikan peningkatan. 

“Malah apa yang menariknya, harga beberapa komoditi yang sebelum ini kurang diniagakan turut meningkat. Ini menggambarkan yang kenaikan kali ini berlaku disebabkan faktor asas dan bukannya spekulasi,” katanya. 

Kenaikan harga komoditi pada 2008 hanya membabitkan beberapa bijirin serta minyak, dan sebahagian besarnya disebabkan keputusan politik yang mencetuskan kegiatan spekulasi. 

Bagaimanapun kenaikan ketika ini disebabkan faktor asas. Ia disebabkan peningkatan permintaan di negara berkembang pesat seperti China, India, Russia serta Brazil. 

Peningkatan dalam permintaan itu dijangkakan tidak akan berkurangan sehingga harga meningkat lebih tinggi lagi, kata penganalisis. 

Delgado berkata, masalah dalam bekalan telah memburukkan lagi kenaikan harga. 
Katanya, masalah cuaca dan dasar kerajaan menyebabkan kurangnya bekalan bijirin dari Russia, Argentina dan Australia. 

Bagaimanapun, punca utama arah aliran itu adalah faktor asas, iaitu peningkatan begitu tinggi dalam permintaan, kata ahli ekonomi. 

“Lebih ramai penduduk dunia kini mempunyai pendapatan yang tinggi, justeru permintaan bagi makanan bernilai tinggi semakin meningkat,” kata Ketua Ahli Ekonomi di IHS Global Insight, Nariman Behravesh. 

Lyons pula berkata, tidak akan berlaku peningkatan bekalan yang ketara dalam tempoh terdekat ini, kerana peladang perlu mengambil masa yang lama untuk menambah keluasan tanaman dan pengeluaran. 

“Ia mengambil masa lama, dua hingga tiga tahun untuk menyaksikan bekalan baru memasuki pasaran, justeru saya menjangkakan harga komoditi akan terus meningkat,” katanya. 

Minggu lalu, Pakar Komoditi di Morgan Stanley, Hussein Allidina berkata, harga makanan utama seperti jagung, kacang soya dan gandum masih berdepan tekanan kenaikan harga, dengan harga jagung mungkin meningkat 20 peratus sebelum permintaannya berkurangan. – AFP 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan