12.1.11

Susahnya nak buang sampah.

Ketika zaman persekolahan dahulu, sudah menjadi tabiat saya untuk mengumpul kertas soalan peperiksaan dan apabila sudah bertimbun, saya akan membawanya ke sekolah semula untuk dibuang dalam tong sampah kitar semula. Terasa sayang untuk dibakar atau dilonggokan dengan sampah-sampah yang lain.

Namun demikian, saya menyedari tindakan saya itu hanya sia-sia. Apa tidaknya, tong sampah kitar semula yang telah diasingkan mengikut jenis telah bercampur dengan segala macam sampah sarap seperti plastik minuman, pembungkus makanan, polistren, beg plastik semuanya dibuang ke dalam tong sampah yang sama. Jadi apa gunanya tong kitar semula?



Saya juga cuba mengamalkan kaedah kitar semula mengikut cara sendiri. Misalnya, kotak-kotak kecil saya akan gunakan untuk menyimpan barang-barang kecil seperti perhiasan dan beg plastik. Kepingan kotak pula saya akan simpan untuk kerja-kerja kreatif. Biasanya saya akan jadikan kad ucapan hari raya atau hari lahir. Ada juga yang digunakan sebagai bingkai lukisan.

Walau bagaimanapun, bukan semua barangan dapat digunakan semula. Ada juga yang perlu dibuang atau dilupuskan dengan cara selamat. Misalnya kaca, dan plastik. Walaupun boleh dikitar semula mengikut kreativiti, tetapi saya tidak sanggup untuk menyimpan semua barang tersebut. Sudah namanya pun sampah.
Jika saya mengasingkan sampah mengikut jenis, bila sampai di tong sampah besar ia tetap akan bercampur dengan pelbagai sampah sarap.

Di sinilah masalahnya kitar semula di Malaysia. Buat kempen kitar semula, tetapi tidak menyeluruh. Tong sampah kitar semula hanya diletakkan di tempat-tempat tertentu seperti di sekolah. Sudahlah tong sampah kitar semula sukar didapati, sikap pengguna umpama masyarakat tidak bertamadun dengan membuang sampah ke dalam tong yang salah dan lebih buruk membuang sampah di merata-rata tempat.

Alangkah baiknya jika setiap rumah mengamalkan kitar semula, dan setiap kawasan perumahan disediakan tong sampah kitar semula. Sampah-sampah itu pula dilupuskan dengan cara yang mesra alam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan