10.1.11

Nak tangkap, silakan.



Bila aku baca akhbar politik, atau membaca buku-buku yang bersifat politik,
akan ada pandangan sinis hinggap ke muka aku. Kalau tidak pun, akan pandang dua kali. Dari rancak berbual, boleh jadi kendur perbualan tersebut bila nampak berita politik di tangan aku.

Sewaktu aku sibuk menyiapkan kertas projek akhir  berkenaan pilihanraya kampus, dan berdamping dengan akhbar-akhbar politik untuk mengumpul bahan, seorang temanku mengatakan "kau baca akhbar politik menakutkan orang"

Masa di tahun satu, aku membeli buku Syed Husin Ali, Merdeka Rakyat dan Keadilan untuk tugasan ulasan buku. Seorang kawan aku dari bidang yang berlainan, pada mulanya tertarik untuk melihat buku tersebut kerana buku baru. Tapi bila lihat buku itu lebih berhaluan kiri, terus tangannya longlai, macam pegang benda kotor. Mungkin lepas tu kena samak.

Sekarang aku nak tanya,

Apa yang peliknya? Apa yang menakutkan? Apa yang hairan?Apa yang jijik?

Adakah salah bagi seorang mahasiswa, anak muda, dan pelajar pengajian media, dan sekarang sebagai manusia dewasa untuk membaca pelbagai bahan bacaan termasuk media alternatif. Dahulu di universiti aku dikecam AUKU, adakah kini sebagai seorang dewasa aku masih perlu dipantau dan diikat.

Untuk info, aku membaca semua jenis bahan bacaan. Agama, pengguna, masyarakat, umum, politik dan segala bagai.

Untuk politik, aku bukan ingin menjadi ahli politik. Aku tak pernah sasarkan hidup aku untuk menjadi Ketua Wanita, Puteri, Srikandi atau sebagainya.

Aku membaca sebab aku ingin tahu. Aku nak tahu, kenapa barang naik. Aku nak tahu kenapa sistem pendidikan Malaysia mundur. Aku nak tahu apa itu GST, apa ETP, apa MBMMBI, aku nak tengok pola perangai manusia, pembodek, pak turut, lembu kena cucuk hidung, kambing hitam dan siapa perasuah. Siapa tok dalang dan bagaimana kerja mereka.

Ini bidang sains sosial. Mengkaji apa yang berlaku dalam warga. Mengkaji punca  dan kesan. Mengkaji masalah, memikirkan penyelesaian.

Untuk yang tak pernah baca akhbar politik, sila faham.
Berita yang dilaporkan mengenai ekonomi, berkenaan urus tadbir negara. Kenapa harga barang naik, tak turun-turun, kenapa kadar tol tinggi dan apa sebabnya. Kenapa isu remeh jadi besar? Kenapa isu besar jadi senyap?

Semua ini menuntut kita berfikir, menilai dan menujah akal untuk berfikir lebih jauh.

Bukan fikir nak undi siapa untuk Akademi Fantasia, konsert malam ni artisnya siapa? Kalau buat assingment ni markahnya berapa? kenapa bila kau gelak tak nampak mata?
Hentikan soalan-soalan bodoh yang kadang-kadang di luar bidang aku sebagai manusia. Buka hati dan akal. Lihat sekeliling baca dengan akal. Bukan melihat dengan pandangan kosong. Kerana kita malas, orang lain memandang kita umpama tin kosong atau hamba abdi.

Apa yang orang anggap, aku sudah tidak peduli. Biarkan, selagi aku masih waras, aku tetap dengan pendirian aku dan cara aku. Terus mengorek maklumat, supaya aku tidak bodoh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan