14.1.11

Apa kurangnya muzik tradisi?

Saat tarikh akhir untuk menerbitkan majalah semakin menghambat, aku perlu mencari pelan B untuk ruangan Fokus sekaligus menjadi penghias muka depan untuk keluaran Febuari. Ketika aku berjalan mencari cover story dalam ruang siber, aku terjumpa satu kumpulan muzik yang memang sealiran dengan jiwa aku, Dewangga Sakti. Mungkin ramai yang masih belum mengenali kumpulan muzik tradisional ini. Sebuah kumpulan yang telah menembusi pelbagai sempadan negara dengan perjuangan muzik mereka seperti inang, zapin, joget. Tapi, tulisan aku kali ini, bukan untuk bercerita mengenai mereka, Insyallah, jika diperkenankan Tuhan, aku akan temuramah mereka untuk tatapan pembaca MM.

Apa yang sering menjadi persoalan dalam jiwa aku ini ialah, mengapa artis-artis yang menghidupkan muzik sebegini sukar diberi peluang untuk menonjolkan bakat? Alif Azfar anak didik M.Nasir pernah menyuarakan hal serupa mengenai lagunya yang tidak diputarkan. Sedangkan artis seperti ini sudah pun menempa nama di luar negara bahkan mendapat sambutan yang baik. Ada beberapa artis yang telah ke luar negara mendapat undangan nyanyian, tetapi aku sendiri belum pernah berkesempatan menonton persembahan mereka. Misalnya kumpulan Bale-bale dangan imej berkain batik dan bertopi ala petani. Dewangga Sakti ini pun baru sekali aku menonton, itu pun ketika Dirgahayu 150 Tahun Kampung Bandar Dalam, Gombak. 


Jika disoal mengapa lagu artis-artis ini sukar mendapar tempat? Seringkali respon yang diberikan oleh pihak penyiaran ialah lagu mereka tidak komersial. Bagaimana kita menilai komersial? Mereka mempunyai album dan menjual karya mereka. Itukan komersial. Cuma mungkin tidak sealiran dengan arus perdana yang lebih kepada rock, pop dan sebagainya.

Sekiranya kita tidak memberi peluang kepada muzik tempatan apatah lagi yang memperjuangkan irama tradisional, siapakah yang akan melakukannya? Seharusnya pihak stesen radio dan televisyen memberi peluang kepada mereka berada di arus perdana dan mengembangkan karya mereka di petas-pentas utama. Apa salahnya, mereka dijemput untuk persembahan acara berprestij seperti Anugerah Bintang Popular, Anugerah Industri Muzik (AIM) berbanding mengetengahkan lagu-lagu luar negara. Sewajarnya, kita berbangga dan menunjukkan “inilah muzik dan budaya kita, hak kita”.

Alasan muzik sebegini tidak komersial dan mungkin 'kekampungan' oleh sesetengah pihak, bagi aku alasan itu agak dangkal. Kitaro, misalnya berjaya menempa nama di persada dunia dengan muzik instrumental berorientasikan budaya Jepun. Begitu juga, Mozart dan Beethoven yang masih segar hingga ke hari ini dengan lagu-lagu klasik Inggeris. Sebenarnya, kita yang suka memandang rendah kebolehan sendiri sehingga enggan memartabatkan khazanah muzik dan budaya asli milik kita. Adakah benar lagu mereka ini tidak boleh dijual? Sekiranya diberikan peluang dan promosi yang baik, saya percaya muzik sebegini akan mendapat tempat di hati khalayak.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan