1.12.10

Canggung budaya


"Datang dari mana entah?"
Ejekan seorang rakan sekelasku disambut gelak ketawa sekumpulan pelajar.
Itulah lontaran kata-kata orang yang canggung dengan budayanya sendiri saat aku tergila-gilakan budayaku.

Aku dikenali sebagai sebagai seorang yang suka akan seni dan budaya. Kerana di dalam kelas, hanya aku seorang sahaja cenderung ke arah itu. Begitu songsang dan asing bagi mereka. Aku tidak meminati apa yang sedang digilai anak-anak sebayaku ketika itu. Jika mereka bangga bersarong dengan pakaian hip hop dan grunge, aku pula bangga dengan catan batik dan tenun songket. Saat mereka terbuai dengan lagu Usher dan Rihanna, aku terhibur dengan ghazal, keroncong dan alunan unik muzik nusantara.

Namun jangan disalah erti, aku bukan menolak pembaharuan dan kemodenan. Walaupun aku mengagumi seni dan budaya dan dianggap tradisional oleh kawan-kawanku, tidak pula hingga ke tahap menjalani kehidupan seperti zaman Kesultanan Melayu Melaka. Aku hanya anak muda seperti biasa. Gemar berhibur, bersosial, dan suka akan pembaharuan. Cuma anehnya aku, aku tidak betah melihat budaya bangsaku dipijak, diherdik, dihina oleh anak cucunya sendiri. Budaya yang kaya dengan falsafah, sastera, nilai, amat sayang sekali jika dibiar mati. Lebih malang lagi oleh anak bangsanya sendiri.

Bagiku melupai asal usul bangsa sendiri umpama hidup dalam kegelapan. Seperti dalam novel Manikam Kalbu karya Faisal Tehrani, lebih kurang begini maksudnya, saat barat berada dalam zaman kegelapan, kita sudah pun mempunyai minyak wangi, deodoran, dan baju indah berseni. Sejarah dan bukti pada hari ini telah menunjukkan betapa hebatnya masyarakat dahulu. Kalau tidak, masakan ada pencipta baju kurung yang kita pakai sehingga hari ini, mencipta sistem udara untuk rumah dengan mengukir dinding dengan ukiran yang halus dan bermacam-macam lagi.

Kita menganggap mereka kolot kerana pada zaman itu tiada motor kris,yang ada hanya keris, tiada Facebook cuma bergotong -royong sebagai salah satu cara bersosial, tiada telefon, kereta, dan segala kemudahan yang ada hari belum wujud pada zaman dahulu. Ini kerana, kita hidup mengikut keadaan dan kehendak zaman. Tidak mustahil jika nenek moyang kita melihat kehidupan zaman ini, mengatakan zaman ini banyak kekurangannya. Dahulu, makan nasi beras tanam sendiri. Sekarang import. Sudahlah import tidak selamat pula dengan racun serangga. Dahulu hidup berjiran bertamah-ramah, sekarang jangan ditegur anak jiran buat salah, pasti kena maki. Dahulu baju direka berserta dengan falsafah agama, sekarang pakai baju untuk cukup syarat. Kononnya sekarang lagi maju, tapi lihatlah masalah moral sama seperti zaman jahiliyah.


Untuk lebih faham, cuba lihat ayat di bawah ini..

"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal".(Surah al-Hujurat ayat 13)

Ayat ini menunjukkan Allah telah menjadikan manusia dengan ciri-ciri tersendiri. Setiap kaum ada kelebihan dan keunikannya. Malah disuruh untuk kita saling kenal-mengenali. Jika kita menolak apa yang telah dikurniakan, seolah-olah kita enggan bersyukur dengan anugerahNYA dan apa yang telah ditetapkan. Mempertahankan adat resam bangsa sendiri bukan bermaksud menidakkan hak bangsa lain, tetapi saling berbangga dan mensyukuri dengan kelebihan yang diberikan dan berkongsi keindahan tersebut.


Pada pandangan aku untuk menjadi maju, kita tidak perlu menukar kulit kita kepada apa-apa bangsa sekalipun. Yang perlu ditukar adalah sikap kita sendiri. Maju atau mundur kita sendiri yang menentukan. Perangai suka meniru-niru atau angguk-angguk geleng-geleng tidak akan membawa ke mana-mana. Jika buruk apa yang ditiru maka buruklah jadinya.

Mujurlah aku dilahirkan sebegini minatnya. Biarpun asing di mata orang, dalam hatiku ia tetap sebati. Jadilah seperti ikan, walaupun hidup di air masin, namun rasanya tidak masin melainkan setelah dimasak. Begitulah jiwa, jika jiwa hidup susah sekali untuk dipengaruhi. Malangnya jika jiwa kita mati, begitu senang dibentuk dengan acuan asing. Umpama memasak ikan, ikan yang telah mati akan mengikut apa-apa sahaja rasa yang kita inginkan. Jika asam pedas, maka asam pedaslah jadinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan