8.3.11

Transformasi aku sempena Hari Wanita Sedunia


“Kau ni cik dayah luaran je perempuan, dalaman lelaki.
“Jalan dengan kau aku tak rasa berjalan dengan perempuan, sama je macam aku jalan dengan budak lelaki lain,” tegur seorang kawan baik aku, Awi yang kini sudah pun berumahtangga. Aku hanya berlagak seperti biasa. Dalam masa yang sama aku mengakui bahawa apa yang diperkatakannya memang benar.

Aku tidak kisah jika ada kawan-kawan aku yang berpendapat sedemikian. Sememangnya aku lebih selesa menjadi diri sendiri. Aku memilih untuk menjadi apa yang aku suka dan selesa. Ternyata aku lebih selesa berkawan dengan lelaki, mungkin kena dengan jiwa aku yang sukakan kebebasan berbanding sifat perempuan yang suka membentuk kelompok sendiri dan adakalanya suka mengawal.(Maaf jika ada yang tersinggung. Aku hanya bercakap berdasarkan pengalaman) Tambahan pula aku dibesarkan dalam persekitaran yang majoritinya lelaki.

Sifat gadis kasar aku lebih menonjol semasa aku mula memasuki universiti. Aku lebih selesa dan rasa cool jika memakai kemeja-t, jeans atau seluar khaki, berkasut sneakers dan beg galas belakang ( bag pack) dan kadang-kala beg kain bercorak batik yang labuhnya hingga ke paras lutut. Pergelangan tangan aku dihiasi  gelang kayu dan gelang tali bermanik. Sekali sekala aku berbaju kurung tapi masih meminimunkan unsur-unsur feminin. Aku selesa begini, sesuai dengan aktiviti harianku yang sibuk ke sana sini.

Bukan setakat itu sahaja, tingkah laku aku juga seperti lelaki dan lasak. Aku mampu berjalan kaki sejauh 3 kilometer seorang diri walaupun waktu malam kalau malas nak tunggu bas, suka bersendirian ke mana saja aku pergi dan tidak betah berada terlalu lama di rumah atau asrama. Sifat-sifat kasar aku sering ditegur dan dibebel oleh abang ipar dan kawan baik aku, Awi. Sehinggakan aku diwajibkan bersolek apabila keluar  semata-mata inginkan aku kelihatan seperti perempuan sejati.

Di sebalik sifat-sifat 'maskulin' yang dilihat dominan pada diri aku, sebenarnya aku masih seorang perempuan dan memiliki jiwa perempuan yang kental. Aku masih sukakan bunga, menjaga kecantikan walaupun aku tidak suka bersolek, gemar memasak dan suka menjahit.

Kini, entah mengapa seolah-olah ada satu dorongan untuk aku berubah menjadi lebih perempuan dan bersifat lebih santun serta memperhalusi tingkah laku. Aku telah memulakannya saat ini. Kebetulan saat aku menaip entri ini aku mendapat makluman bahawa hari ini ialah Hari Wanita Sedunia Ke-100.

Walaupun agak sukar, harapnya aku dapat meninggalkan tingkah laku yang kasar serta lalu menjadi 'orang baru' sempena umur aku yang bakal mencecah 24 tahun dalam masa 28 hari lagi.


2 ulasan: