24.3.11

Sekolah: Jalan sampai dapat



Sengaja aku menulis mengenai zaman persekolahan, memandangkan mood keputusan SPM masih berbahang.

Bukan budak pandai

Aku bukanlah seorang pelajar yang gred A sewaktu di sekolah tadika hinggalah ke universiti. Gred A maksud aku ialah murid yang selalu meraih skor yang tinggi dalam peperiksaan. Tapi, dalam sesetengah waktu, aku ada juga keputusan yang boleh dibanggakan. Terutamanya sewaktu darjah dua darjah tiga. Di sekolah menengah, aku berada di kelas pertengahan. Dalam sesetengah subjek yang kritikal, warna pen merah lebih dominan dalam buku laporan.

Keputusan UPSR aku tidaklah sehebat mana. Cuma ada 1A dan sangat sederhana. Bagi aku itu sudah cukup baik dan sesuai dengan keupayaan aku. Tambahan pula, sewaktu darjah 6 sahaja aku jarang ponteng. Selebihnya, rumah adalah sekolah bagi aku. Begitu juga dengan PMR, hanya 1A dan 1B, lagi enam subjek ada D dan C. E bermakna gagal. Tapi aku tidaklah sedih dan tertekan dengan keputusan tersebut biarpun ada yang memperlekehkan keupayaan aku. Setiap masa aku percaya dengan kebolehan diri dan sudah berimaginasi, sekurang-kurangnya jika tidak mempunyai kerjaya yang hebat, aku memiliki butik pakaian yang dijahit sendiri atau bakery atau kedai bunga. Bekerja dengan kemahiran dan kreativiti. Mujur emak dan bapa tidak mendesak dan membiarkan aku memilih minat sendiri. Pada waktu itu, aku sudah berbincang dengan emak untuk memiliki perniagaan tesebut.

Terkandas depan tv

“Awak ni bukan tak pandai, tapi pemalas”
“Ada pelajar yang bagi karangan guna esei dalam yang sama dengan esei oral. Dia cuma tukar nama saja. Very clever girl.” Itu antara kata-kata guru yang masih aku ingat sewaktu di tingkatan 4 dan 5. Aku bukanlah nakal sangat, tapi adakalanya aku buat kerja nakal untuk menyelesaikan masalah. Dalam kelas aku seorang yang fokus, dan jika ada rakan-rakan yang mebuat bising, aku akan marah. Tapi aku agak bermasalah menyiapkan kerja rumah dalam sesetengah subjek. Keinginan untuk berjaya sentiasa ada, namun kerja rumah sering terkandas di hadapan televisyen terutamanya hari Selasa malam kerana ada tayangan filem dari Hong Kong.

Apabila timbul kesedaran, aku kerap mengulangkaji walaupun seorang diri sedangkan aku lebih suka berkumpulan. Bila belajar berkumpulan, lain pula jadinya. Hasilnya, aku hanya memperoleh empat kredit dalam SPM dan tiada langsung A yang sering dijadikan kayu ukur kejayaan. Hanya sekadar ingin berkongsi, dalam matapelajaran Pendidikan Islam pun aku hanya dapat mata yang tercorot. Sedangkan ramai yang mampu meraih keputusan yang baik. Jika melihat keputusan, mungkin aku dilabel manusia jahil. Ha..ha. Namun aku berpendirian, belajar agama bukan sekadar menghafal surah dan jawapan untuk menjawab peperiksaan, tetapi memahami apa yang dituntut melalui surahNYA dan melaksanakan kehidupan dengan NYA yang sentiasa bersama kita. Banyak lagi yang perlu dicari dalam agama ini. Syukur Alhamdulillah. Dengan keputusan ini aku masih lagi diterima keluarga. Paling aku ingat, Pak Cik aku mengucapkan tahniah. Aku tetap bahagia dengan kehidupan aku.

Fasa baru dalam sekolah

Tingkatan 6 adalah kemuncak dalam sejarah persekolahan aku. Dalam empat peperiksaan yang aku lalui, inilah yang paling cemerlang. Di peringkat awal tingkatan 6, pada minggu pertama aku begitu nekad untuk belajar bersungguh-sungguh. Tapi bila sampai di pertengahan jalan, aku hilang semangat dan seolah-olah tiada hala tuju. Tetapi dalam masa yang sama, keinginan aku kuat untuk berjaya. Aku tidak mahu lagi mengulangi pengalaman sebagai pekerja kilang.

Aku menjalani pengajian ini dengan ala kadar sahaja. Maklumlah, buku-buku rujukan sangat mahal. Untuk itu, aku meminjam buku daripada rakan atau guru dan buat salinan fotokopi. Ada juga guru-guru yang bermurah hati meminjamkan buku rujukan. Buku ekonomi terutamanya, aku sewa daripada guru dengan bayaran 10 sen sehari. Lama-kelamaan, aku dapat meminjam secara percuma, mungkin kerana prestasi aku semakin baik. Agaknyalah.

Seorang lagi guru mikroekonomi, meminjamkan aku bukunya edisi lama setelah melihat aku menggunakan buku kakak yang silibusnya telah sedikit bertukar. Namun masih relevan untuk digunapakai. Kawan-kawan aku banyak juga yang ke tuisyen, tetapi kerana bayarannya agak mahal, aku memilih inisiatif sendiri dengan membuat sendiri ulangkaji dan merujuk dengan guru. Hasilnya, syukur! keputusan aku juga lebih baik daripada yang mengikuti tuisyen.

Ada satu perkara yang mungkin membuatkan aku ingat hingga mati. Bayangkan, aku hanya memperoleh 5 markah untuk subjek ekonomi dalam ujian percubaan. Sedangkan cuma ada 7 bulan saja lagi untuk peperiksaan sebenar. Paling tidak boleh dilupakan, disebabkan ramai gagal, cikgu minta kami menulis 'kenapa gagal?. Aku menulis dengan perasaan menyesal dan di hujung nota aku meminta maaf kepada cikgu dan berjanji untuk buat lebih baik. Dari situ, aku berjaya mendapat keputusan yang baik sehingga melayakkan ke universiti.

Hitam dan putih

Dalam salah satu entri, aku ada menceritakan pengalaman di universiti yang kerap tidur dalam kelas dan adakalanya tidur di surau beberapa minit, selepas itu masuk semula ke dalam kelas. Ada juga kelas yang aku mampu memberi fokus dengan baik dan mengambil kesempatan berbincang dan mengemukakan pendapat. Bergantung kepada kandungan subjek dan keupayaan pensyarah menjadikan kelas itu menarik.

Biarpun aku agak 'teruk' dalam kelas, dunia aku bukan terhad di situ. Aku percaya, pelajaran di dalam kelas dan tugasan tidak mampu membuatkan kita berjaya sepenuhnya. Kunci kejayaan ialah attitude kita sendiri dan bagaimana kita membentuk diri kita untuk berjaya. Sebagai persediaan untuk laku dalam pasaran kerja dan memenuhi impian, aku terlibat dalam dalam pelbagai persatuan dan projek dan aku tidak suka persatuan yang didominasi oleh satu-satu kaum. Oleh itu, aku pernah bekerja dengan komuniti yang majoriti ahlinya kaum Cina dan bekerjasama dengan pelbagai peringkat masyarakat. Aku juga sangat aktif dalam Persatuan Bahasa Melayu Univerti Malaya (PBMUM) dan aktiviti berkaitan media. Salah satu perangai aku ialah boleh bergaul dengan sesiapa sahaja tidak kiralah pensyarah, pelajar asing, atau tukang cuci. Seronok sebenarnya bila bergaul dengan ramai orang. Terasa bebas dan terbuka.

Mungkin inilah seperti yang dikatakan pepatah, apa yang ditabur, itu yang dituai. Walaupun aku bukan lulus dengan ijazah kelas pertama, dan pointer aku cuma kurang 0.01 untuk mencapi kelas ijazah kelas dua atas, namun aku mampu mendapatkan kerjaya yang aku inginkan sejak kecil biarpun tidak kaya-raya, jauh sekali mewah. Tetapi inilah yang membuatkan kehidupan aku puas dan ini juga kebahagiaan. Bukan sekadar kerjaya, aku juga mudah mendapat kawan yang sangat membantu dalam kerjaya dan minat serta dikelilingi sahabat dan keluarga yang sangat memahami.

Raikan kehidupan dengan apa yang kita miliki dan tidak semestinya sesuatu yang kita lakukan harus mendapat pencapaian yang sempurna. Kejayaan itu luas pengertiannya, dapat mengatasi kekecewaan juga satu kejayaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan