15.3.11

Jika asyik terlalu berfikir, sampai kucing bertanduk pun kita masih di situ

Tidak tahu di mana harus aku mulakan bicara ini. Jika tidak diluahkan, aku akan serba salah. Anggap saja ini pandangan peribadi. Jika ingin dengar, dengarlah. Jika tidak, aku juga tidak rugi apa-apa.

Setelah hampir setahun bergelar graduan, masih ramai antara kita masih tercari-cari peluang pekerjaan dan mungkin juga yang masih belum pasti apa yang dimahukan. Syukur Alhamdulillah, aku lebih bernasib baik kerana dapat memulakan kerjaya selepas tamat pengajian walaupun gaji yang diterima setiap bulan agak kecil jika dibandingkan dengan tahap akademik dan kos sara hidup di Kuala Lumpur.

Pada awalnya, aku telah menolak peluang temuduga di CIMB yang mengadakan temuduga sewaktu aku dalam program Pra-Pekerjaan. Sebenarnya, boleh dikatakan 98 peratus yang menghadiri temuduga tersebut berpeluang mengikuti latihan peritis selama 3 bulan. Cuma aku sengaja menolak atas sebab-sebab tertentu. Sebab utamanya ialah aku ingin menjadi wartawan. Sementara mendapat pekerjaan sebenar aku bekerja di sebuah klinik di Rawang yang menjadi tempat aku menghabiskan waktu dan mencari wang tambahan pada setiap kali cuti semester.

Aku sedikit menyesal kerana menolak peluang. Bertambah menyesal lagi apabila dileter oleh kakak dan abang ipar kerana bukan mudah untuk mendapat pekerjaan walaupun sudah berijazah. Namun, rezeki yang tidak disangka, panggilan telefon daripada seorang rakan yang memaklumkan jawatan kosong sebagai pembantu editor dan kunjungan ke fakulti membawa aku menimba pengalaman dalam bidang yang aku minati. Sastera dan media dua perkara dominan dalam diri aku walaupun aku bukan penggiat sastera, sekadar minat dan menghayati. Sudah tujuh bulan aku bersama pekerjaan ini. Pahit manis merupakan nikmat dan kepuasan dalam mengajar diri aku untuk menjadi manusia dan syukur aku diberi lagi peluang untuk mengembangkan minat dan kerjaya yang menjadi fokus selama ini.

Berbalik kepada perkara yang ingin aku sampaikan, sebenarnya hidup ini tidaklah sukar dan tidaklah senang. Yang sukar kadang-kala adalah kerana kita yang memprogramkan fikiran bahawa sesuatu itu susah! Graduan menganggur, isu ini bukan baru. Isu ini juga pernah membuatkan aku enggan melanjutkan pelajaran. Tidak dinafikan,sekarang ini memang sukar untuk mendapat pekerjaan yang setimpal dengan kelayakan akademik. Tetapi kadang-kala rezeki itu datang bergolek kepada kita. Terpulang sama ada kita ingin memilikinya atau biarkannya melepas dek kerana perasaan tidak bersedia, takut, atau sebagainya.

Seringkali aku diajukan pertanyaan apabila memberitahu mengenai peluang pekerjaan, “susah tak kerja tu?”, “kerja tu macam mana?”, “guna English ke BM?”. Tidak salah bertanya soalan. Cuma bentuk soalan-soalan sebegini tidak seharusnya keluar daripada golongan yang terpelajar. Mustahillah jika tidak mempunyai idea asas dalam bidang tersebut seolah-olah baru tamat persekolahan. Sepatutnya yang harus diketahui bukan susah atau senang kerana setiap perkara ada susah dan senangnya, tetapi yang harus ada pada graduan ialah kesediaan untuk menghadapi cabaran-cabaran dalam dunia pekerjaan dan mempersiapkan diri ke arah itu.

Jika masih terperangkap dengan pertanyaan-pertanyaan 'bodoh' dan tidak berani melangkah, sampai bila pun tidak akan ke mana. Bebaskan fikiran untuk berjalan lebih jauh dan tinggalkan persoalan-persoalan yang hanya menyekat kita untuk mengembangkan kebolehan yang memang sudah ada dalam diri. Jadikan kelebihan dan kebolehan diri sebagai alat untuk bergerak mencipta kejayaan. Keputusan di tangan kita. Terserah!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan