25.3.11

Raikan Kehidupan

Gambar Hiasan -  kawan-kawan di tempat kerja..3 prospek..hhuh
Kehidupan penuh dengan warna. Ada warna gembira, kecewa, sedih, cinta, terharu dan macam-macam perasaan yang bercampur. Tetapi, adakalanya sukar melihat kekurangan apabila bahagia lebih terang warnanya.

Sejak berhijrah ke Kuala Lumpur, kehidupan di sini telah mengajar aku makna kebahagiaan. Aku berpendapat kebahagiaan bukanlah diukur dengan berapa banyak nilai wang yang kita ada, sebagus mana jenama pakaian yang dipakai, sehebat mana kenderaan yang kita pandu. Tetapi kebahagiaan itu hadir apabila kita sanggup menerima keadaan dengan hati terbuka dan persahabatan yang ikhlas serta kekuatan hubungan keluarga.

Semasa di tahun 2, aku mengalami masalah kewangan yang agak kritikal. Tambahan pula waktu ialah waktu kemelesetan ekonomi 2008. Untuk meringankan beban, aku menjadi ejen direct selling berasaskan akupuntur sewaktu habis kelas. Kerja aku ialah mencari 'calon' untuk buat pemeriksaan. Kalau ada yang beli produk, adalah duit, komisen 20 percent, tidaklah banyak. Hanya lepas untuk bayar cetakan assignment. Lainlah kalau jadi ejen pembelian kapal selam. Pernah juga aku bekerja sebagai krew di McDonald Jalan Petaling, cuma empat hari. Lepaslah juga untuk beli top-up untuk menguruskan projek di fakulti. Walaupun menjalani kehidupan dengan kekurangan, syukur aku masih boleh bernafas dengan bantuan keluarga dan kawan-kawan yang sentiasa memberi sokongan dan pertolongan. Mereka sangat memahami dan inilah kebahagiaan aku.

Pengalaman selama dua bulan menyewa di flat Kg. Kerinchi bersama enam orang teman serumah sukar untuk aku lupakan. Walaupun rumah tersebut hanya ada satu bilik, tapi kami dapat hidup bagaikan adik beradik walaupun baru berkenalan. Rumah itu tidak pernah sunyi daripada gelak ketawa, sikit atau banyak semuanya dikongsi. Mungkin keserasian ini lahir kerana latar hidup kami hampir sama, berjuang untuk hidup.

Kami semua belajar dan sedang bercuti semester. Cuma aku dan dua lagi sedang menjalani latihan praktikal. Sahabat yang pertama, bekerja sambilan sebagai jurujual. Pagi di tempat lain, dan petang di tempat lain. Seorang lagi dengan MLM, dan lagi seorang namanya sama dengan nama aku, juga jiran aku di kedai kuih Pasar Seni. Hehe. Gaji yang diterima untuk dua hari bekerja sebagai jurujual digunakan untuk menyara kos hidup seminggu. Kami makan seadanya, tapi tetap kenyang dengan memasak secara 'gotong royong'.

Menempuh pengalaman sebegini menjadikan fikiran lebih matang. Keindahan hidup bukan bergantung kepada material, tapi apa dalam hati kita. Ikhlas, redha, kasih dan ingatan kepada NYA sentiasa. Inilah warna-warna mencorakkan kegembiraan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan