22.3.11

Penjenayah Tanpa Wajah...Awas!

Jenayah tanpa wajah (sumber Sinar Harian)

KETIKA sedang memandu kenderaan menuju pejabat setelah pulang daripada melakukan tugas harian, Fazli (bukan nama sebenar) mendapat panggilan daripada seorang wanita. 

Dia yang menggelari dirinya sebagai Amy cuba menawarkan peluang memperoleh ‘keistimewaan’ pakej pelancongan. 

Ketika itu, Fazli cepat-cepat mengatakan tidak berminat. Mungkin kerana dua perkara iaitu pertama, sedang memandu dan keduanya, tidak percaya dengan tawaran yang akan diberikan. 

Perbualan kemudiannya berakhir di situ dan Amy berjanji akan menghubunginya semula. 

Seminggu kemudian, ketika Fazli sedang bertugas di Temerloh, Pahang, Amy sekali lagi menghubunginya. 

Ketika itu Fazli sedang berehat di rumah sewa setelah seharian bertungkus-lumus melakukan tugas yang diamanahkan. 

Panggilan itu dilayan dengan sapaan manis Amy. Segala penerangan yang diberikan cukup lengkap. 

Antaranya, anda akan mendapat potongan harga di semua hotel di Malaysia dan beberapa negara luar yang terpilih. Anda juga akan mendapat baucer penginapan dan yang paling menarik, nyawa anda akan dilindungi melalui insurans sepanjang hayat. 

Menarik bukan? Tetapi Fazli masih tidak percaya. Amy meneruskan peranannya cuba memujuk. 

Katanya, syarikatnya sudah lebih 11 tahun beroperasi dan berdaftar dengan Bank Negara. Entah di mana silapnya, Fazli percaya seperti dipukau. 

Laman sesawang yang diberikan, dilayari. Semua arahan Fazli turuti. Sehinggalah pada satu ketika yang terus mengubah situasi Fazli. 

Amy terus meminta nombor yang tertera pada satu kad banknya. Tanpa sebarang syak dan ragu, Fazli terus memberikannya tanpa sebarang pertanyaan. 

Bermula daripada situ, Fazli sedar bahawa dirinya sudah ditipu. Kebetulan waktu itu, baru tiga hari gaji. 

30 hari bersusah payah mendapatkan wang gaji, dalam sekelip mata, wang itu lesap! 

Itu kisah benar yang berlaku kepada rakan penulis. 

Mudah bukan? Itu yang akan dibincangkan minggu ini dalam ruangan MODUS OPERANDI, iaitu ‘jenayah tanpa wajah’. 

Apa yang dimaksudkan dengan jenayah tanpa wajah? 

Jenayah tanpa wajah adalah jenayah di alam maya, iaitu sama ada melalui panggilan telefon, sistem khidmat pesanan ringkas (SMS), emel, atau melalui ruangan sosial. 

Kita tidak mengenali muka penjenayah itu tetapi kita boleh percaya dengan apa yang diperkatakan. 

Mengapa semua ini boleh terjadi? Mengapa sewenang-wenangnya kita boleh mempercayai seseorang itu tanpa mengenali individu terbabit? 

Walaupun sebelum ini media sering kali melaporkan sindiket penipuan sedemikian, tetapi cukup mudah untuk orang lain iaitu mangsanya terjerat. 


Jenis sindiket penipuan 

Terdapat pelbagai modus operandi sindiket menggelapkan wang mangsa. Antaranya ada yang secara terangan. Ada juga yang menjual produk atau perkhidmatan tetapi selepas itu, keistimewaan yang diperoleh tidak seperti yang dijanjikan. 


Penipuan secara panggilan 

Penipuan secara ini membabitkan panggilan daripada seseorang yang mendakwa dari sebuah syarikat. Biasanya mereka dikenali ejen telepemasaran. 

Mereka juga menyatakan mewakili sebuah syarikat atau institusi tertentu. Mereka pandai mempengaruh pengguna dengan tawaran menarik. 

Transaksi pembayaran sama ada melalui pemindahan wang atau melalui kad kredit. Semua itu dilakukan menerusi satu panggilan tanpa bersua muka. 

Nombor yang digunakan tidak tertera pada panggilan telefon bimbit anda. Ada juga yang menggunakan nombor yang bila dihubungi semula, tiada jawapan daripada ejen terbabit. 

Modus operandi yang digunakan cukup menarik. Mereka menyatakan anda terpilih sebagai pelanggan istimewa. Segala tawaran yang diberikan membuatkan anda boleh putih mata. 

Mereka juga akan bertindak meminta nombor pin atau nombor rahsia (CCV) bagi kad kredit atau kad bank. Tujuannya, mereka nyatakan mahu membuat semakan dengan pihak bank, sama ada nama anda disenarai hitam, akaun masih aktif atau tidak dan sebagainya. 

Tidak hanya di situ, mereka juga meminta nama penuh anda, nombor telefon lain, alamat rumah dan segalanya berkaitan butir peribadi, bagi mengaburi mata mangsanya. 

Bagi mengukuhkan lagi helah sindiket, mereka juga akan menjaja nama syarikat dan akan meminta mangsanya melayari laman sesawang yang dikatakan milik syarikat terbabit. 


Penipuan melalui SMS 

Kaedah ini boleh dianggap cukup popular digunakan sindiket. Penipuan hanya digunakan melalui SMS. 

Pengirimnya dikatakan mewakili sebuah syarikat minyak dengan menyatakan nombor telefon pelanggannya terpilih memenangi wang tunai beribu-ribu ringgit. 

Apa yang perlu dilakukan, pelanggan perlu menghubungi nombor panggilan yang dilampirkan. 

Penulis berkesempatan menelefon nombor tersebut, dan seorang lelaki, dipercayai bukan warga negara ini, menyambut panggilan tersebut. 

Perkataan ‘tahniah’ tidak lekang dari bibir lelaki itu. Dia seolah-olah gembira dengan pemilihan nombor telefon penulis. 

Apa yang diperlukan, mereka meminta nombor kad pengenalan dan nombor akaun penulis. Katanya mereka mahu memasukkan wang tunai yang penulis menangi. 

Tetapi, semua nombor yang dikehendaki tidak diberikan dan penulis menyatakan, “Kalau saya menang, kita perlu bersua muka”. Perbualan berakhir di situ. 

Biarpun sindiket menggunakan SMS itu tidak berjaya menjadikan penulis sebagai mangsa, tetapi berapa ramai yang telah menjadi mangsa. 


Penipuan melalui e-mel atau laman sosial 

Penipuan ini biasanya mengambil masa yang boleh dikatakan agak lama. Ini kerana, penjenayah perlu memastikan mangsanya benar-benar mempercayai sindiket tersebut. 

Pada mulanya mereka berkenalan sama ada melalui e-mel ataupun laman sosial seperti Facebook. 

Mereka ini di anggap sebagai rakan, tidak seperti telepemasaran yang hanya dikenali hanya melalui panggilan telefon. 

Ada beberapa kes yang di laporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), mangsa-mangsanya pernah menjalin cinta dengan rakan maya mereka ini. 

Beberapa kes lain juga dilaporkan di mana, penjenayah tanpa wajah ini mengatakan kepada mangsanya bahawa mereka mempunyai harta pusaka di luar negara yang diwasiatkan oleh keluarga rakan yang dikenali itu. 

Bagaimanapun, untuk memperoleh wasiat berjuta-juta ringgit itu, mangsanya perlu menanggung kos penghantaran barangan tersebut. 

Setelah dibayar, barangan tersebut pula dikatakan ditahan Kastam Diraja Malaysia (KDRM). 

Mangsa pula perlu membayar cukai Kastam untuk melepaskan barang tersebut, tetapi akhirnya menyedari ditipu setelah mengalami kerugian yang besar. 


Skim cepat kaya 

Biarpun skim cepat kaya bukan dikategorikan sebagai jenayah tanpa wajah, tetapi modus operandi yang digunakan dianggap serupa. 

Ahli sindiket meyakinkan mangsa-mangsanya supaya melabur dalam skim yang ditawarkan. Pulangan yang diperolehi amat lumayan. 

Apa yang dilakukan hanyalah mengisi boring dan menyerahkan wang pelaburan yang dipinjam daripada bank tempatan. 

Selepas beberapa ketika, pulangan yang dijanjikan tidak diperolehi. 

Tahun lalu, PDRM menumpaskan satu skim cepat kaya yang telah memperdayakan ratusan mangsanya. 

Mereka hanya berbekalkan risalah-risalah dan memandu kenderaan mewah bagi meyakinkan pelabur baru. 

Mereka licik mencari mangsa supaya melabur dalam skim terbabit dengan jumlah minimum RM10,000 sehingga RM41,000. 

Malah bantuan mendapatkan pinjaman daripada bank dan koperasi turut diatur oleh skim terbabit bagi bakal-bakal pelabur yang berminat. 


Punca menjadi mangsa 

Berbicara bersama Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, satu-satunya punca yang menyebabkan orang ramai menjadi mangsa adalah TAMAK! 

Tamak untuk mendapat hadiah, tamak untuk mendapatkan wang ringgit dengan mudah dan tamak inginkan kejayaan merubah kehidupan. 

Itu yang menjadi dorongan orang ramai menjadi mangsa kepada ‘jenayah tanpa wajah’. 

Sifat tamak itu menjadi pendorong seseorang itu mahukan wang atau kelebihan dalam sekelip mata. 

Oleh kerana ada sifat tamak itu, orang ramai ingin mencuba. Biarpun sebelum ini mengetahui amaran yang dikeluarkan PDRM melalui media massa, namun, perasaan tamak itu melahirkan tindakan ingin mencuba. 

Dengan anggapan bahawa mungkin akan mendapat keuntungan, mereka mengabaikan amaran awal yang telah dikeluarkan. 

Elak jadi mangsa 

Mengulas lanjut, Tun Hisan menyarankan orang ramai melakukan beberapa perkara supaya tidak menjadi mangsa terhadap sindiket penipuan ini. 

====Jangan dedahkan nombor kad pengenalan anda 

====Jangan dedahkan nombor pada kad bank 

====Jangan sewenang-wenangnya memberikan nombor akaun bank anda 

====Jangan dedahkan alamat rumah anda 

====Jangan dipaksa membuat keputusan 

====Jangan percaya terhadap pakej yang ditawarkan 

====Minta seberapa maklumat syarikat yang mereka wakili 

====Buat pemeriksaan nama syarikat tersebut 

====Letakkan telefon semasa mereka cuba memujuk anda 


Baru-baru ini, Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Asisten Komisioner Mohd Kamarudin Md Din mengingatkan para pengguna perkhidmatan perbankan Internet agar tidak mudah terpedaya dengan e-mel, SMS atau panggilan telefon yang meminta mereka mendedahkan maklumat perbankan. 

Ulasnya, kes penipuan melibatkan perbankan Internet meningkat dengan amat ketara. 

Mengikut statistik, pada 2009, 75 kes penipuan melalui perbankan Internet dilaporkan dengan kerugian berjumlah lebih RM200,000 dan ia terus meningkat dengan 353 kes dan kerugian kira-kira RM1.2 juta, pada tahun lalu. 

Jelas di sini, biarpun PDRM sudah melakukan pelbagai cara bagi mengelakkan orang ramai daripada menjadi mangsa, jenayah tersebut tetap berlaku. 

Modus operandinya tiada bezanya tetapi, cukup mudah orang ramai menjadi mangsa. Sedarlah semua, wang tidak akan jatuh tergolek di depan mata, semuanya memerlukan usaha sendiri. 

Jangan disebabkan sikap tamak, anda mengalami kerugian berlipat kali ganda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan