5.7.12

Baju

Assalamualaikum..

 Alhamdulillah. Sejak beberapa bulan ni aku dah mula melakukan perubahan terutama berkaitan agama. Tak sangka aku masih jauh dariNYA tapi dalam masa yang sama aku tetap bersyukur sebab peluang untuk aku mendekatiNya terbentang luas dan semua berlaku dalam rencanaNya.

  Dalam sibuk aku mengejar ilmu agama ni, aku berguru dengan seorang imam muda. Dialah yang membantu masalah kesihatan aku sebelum ni dan akhirnya menawarkan aku kelas mengaji al-Quran.

  Banyak benda berkaitan agama yang dia ajarkan kepada aku yang masih mencari sinar Hidayah walaupun nama aku Hidayah termasuklah membantu kelemahan yang ada dalam kehidupan aku selama ni.

  Cuma, semalam penyampaian dia beri kesan dalam diri aku. Kesan positif tentu ada tapi aku juga tak boleh menyembunyikan perasaan tak puas hati terhadap teguran dia.

  Selama ini aku rasa pakaian aku ok saja. Maksudnya tidaklah selekeh kerana aku sangat pentingkan penampilan dan agak bercitarasa tinggi.

  Mengenai aurat, aku sedia maklum banyak kekurangan meskipun aku bertudung dan aku sedang mengubahnya sedikit demi sedikit untuk memenuhi tuntutan syarak sehinggakan boleh dikatakan sudah tidak ada baju yang sesuai dalam simpanan untuk aku gayakan ke pejabat kerana semuanya ada kekurangan.

  Jadi, aku mula berjinak-jinak dengan jubah moden yang bagi aku nampak cool dan sesuai dengan gaya aku yg selamba dan brutal ni.

 Tapi, nampaknya perubahan itu kurang senang di mata imam. Katanya, jubah aku nampak selebet. Cis..sedangkan ramai yang tegur pasal jubah-jubah aku memang agak style dan simple.

  Dia banyak menegur penampilan aku termasuklah dia tak suka kasut aku warna kuning yang designnya ala-ala comel ni dengan kesukaan aku menggayakan selendang.Jadi dia suruh pakai tudung ekspres dan kasut hitam yang katanya lebih sesuai untuk aku. aduss...aku memang tak minat..

  Ada juga apa yg dikatakan tu betul dan cuba membetulkan kelemahan diri aku tapi aku tetap ada cara dan citarasa sendiri dalam berpakaian.

  Nak melawan sangat pun dia imam dan guru aku serta terikat dengan soal agama. Mungkin pada pandangan aku benda tu tak elok tapi ia sememangnya baik untuk diri aku.

  Entahla, aku cuba menjadi yang terbaik sebagai hambaNya dan mudah-mudahan Allah pimpin hati aku untuk berpenampilan sesuai dengan situasi dan kerjaya aku sekarang ni apatah lagi penting untuk masa depan.

  Lepas kerja, aku nak pi cari baju kurung sebab banyak baju kurung aku dah tak sesuai untuk digayakan. Aku kena cari baju baru. Moga Allah memberkati apa yg aku usahakan ni dan berilah aku rezeki yang baik untuk aku beli baju baru yg tutup aurat.

  Chowww...Wasalam..

12.10.11

Tengok diri kau..

tak percaya lagi ke?


"Biar betul,"tegur seorang teman.
"Semua ikan sama la,memang mulut dia macam tu,"aku hanya diam dan tersenyum.
"Tak percaya balik tengok ikan lohan,"katanya sebelum berlalu.

Percaya atau tidak? Aku tidak kisah sangat. Masing-masing ada pemikiran untuk menilai.
Tapi, izinkan aku untuk memberi pendapat aku yang masih lagi cetek pengetahuan mengenai diriNya.
Sejujurnya aku agak kaget bila dalam kalangan kita (Muslim) yang masih bertanya soalan seumpama ini.
Rasanya tak payah tunggu jawapan bila soalan siapa Tuhan dan Rasul diajukan.
Semuanya akan menyebut Allah dan Muhammad.
Tapi aku agak pelik, bila kejadian seumpama ini, masih ada yang mempersoalkan kebenarannya.
Bukan apa, setahu aku Allah itu maha besar dan maha berkuasa. Besarnya tak dapat diukur dengan apa sekalipun. Keupayaannya melewati tahap pemikiran kita sebagai manusia.
Dan jangan sesekali terlupa, kita juga dicipta atas kebijaksanaannya dan jangan juga terlupa bahawasanya tidak ada satu zarah pun yang berlaku atas muka bumi ini bukan dengan kuasaNya. Kalau bukan dengan kuasa dan kudratNya, siapa lagi?
Tak kan David Cooperfield.
Dan setiap nafas dan perbuatan kita tidak pernah terlepas daripadaNya. Termasuklah saat anda membaca entri ini.
Tak ada salahnya untuk dia menunjukkan kekusaanNya kepada kita.
Jadi kalau ikan tu sekadar membuka mulut dan nafasnya seakan menyebut perkataan Allah, bukankah itu juga atas keizinan dan kehendakNya.
Kalau nak ikut, apa yang ada pada diri kita pun dah cukup untuk buat kita kagum dengan kebijaksanaan dan kuasaNya. Oleh itu, mari lihat segenap tubuh kita, adakah kita mampu untuk menghasilkan sebgaimana yang dijadikanNya...
Lihat juga nasi dan ayam dalam pinggan..adakah kita mampu juga untuk menjadikan nasi yang penuh karbohidrat dan ayam yang mengandungi protein tu?
Renungkan..

9.10.11

sireh..

Assalamualaikum,
Sori dori strawberi.Maaf kerana aKu dah lama tak mengemaskini blog yang suatu ketika dulu pernah aku penuhkan lebih tiga entri sehari.
Untuk pengetahuan semua, aku dah semakin sibuk dengan pelbagai urusan. Kerja memang macam tak ada life. Bila off day saja aku jadi nanny kepada anak-anak buah. Tak sempat nak buat apa.
Hari ini syukur. Allah suntik keinginan untuk aku menulis dan ada sedikit kelapangan.

Tidak ada apa yang menarik juga sebenarnya dalam kehidupan aku selama ni. Cuma aku ada beberapa gagasan mengenai kehidupan yang mungkin menarik untuk dikongsi.Ok!
Sewaktu berbual rancak dengan kawan yang sudah lebih setahun tidak berhubung, aku disoal siasat mengenai status perhubungan aku dengan mana-mana lelaki.
Macam poyo je ayat. Sori.

Kawan aku yang bermulut boleh tahan pedas tak padan dengan lelaki tu menyifatkan aku kerugian kerana tidak menjalani kehidupan seperti gadis lain yang seusia dengan aku. Ya lah, ramai kawan aku yang sudah menempuh fasa baru dalam hidup dan sering mengubah status dalam FB seperti 'dalam perhubungan' atau 'berkahwin' tak pun 'bertunang'.

Ya, mungkin juga kelihatan tempang jika tidak pernah berubah status. Tapi bukan aku sorang je macam ni. Ada yang sampai pencen baru dapat jodoh. Ada aku kisah! huhu..
Sebenarnya aku tak kisah sangat pasal ni semua. Aku percaya bila waktunya sudah sampai, nah..silakan.
Bila ditoleh ke zaman usia aku tiga tahun lalu, aku pernah rasa bertuah dan bersyukur kerana tidak ada teman istimewa. Cukuplah ada kawan-kawan yang sengal dan sekepala macam kawan-kawan yang aku pernah ada.

Disebabkan rutin harian aku yang agak unik, jadi kawan lelakilah yang paling mudah bagi aku. Senang berurusan dan bekerjasama.

Berbalik kepada cerita aku tadi, mungkin ramai yang pelik kenapa aku rasa bersyukur dengan keadaan itu?
Hehe..suspen...mungkin orang ingat aku tak normal, tak pa la.
Kenapa aku rasa bertuah? salah satu jawapannya kerana aku dapat melakukan sesuatu yang aku nak buat tanpa sebarang halangan. Buat segala bagai apa yang aku suka asalkan ia tidak berlebih-lebihan. Itu prinsip aku. Kalau aku habiskan masa untuk benda tu semua tak ada yang nak marah berbanding kalau ada komitmen perhubungan.

Lagipun apa yang penting, aku dapat berkawan dengan siapa aku nak berkawan, buat perkara yang jarang dibuat oleh perempuan biasa, melepak senior-senior laki dan bincang bermacam-macam hal dari politik,bahasa hinggalah ke pelajaran dan sosial. Bergerak seorang diri menikmati hari yang kacau dan tenang dan sekali sekala singgah ke kelompok kawan-kawan dan bergaul.
Barangkali corak kehidupan aku berbeza jika aku mendukung status yang sama seperti rakan lain. Agaknya. Apa yang aku perhatikan, orang yang ada komitmen hubungan itu ada pro dan kontranya. Jika dapat yang baik dan membawa kebaikan tentu saja tidak rugi. Tapi kalau 24 jam nak bercinta saja, itu dah over beb.

Meskipun pengalaman tidak seberapa atau mungkin sama saja dengan manusia lain. Tetapi pergaulan dan sikap aku yang sukakan kebebasan banyak membentuk pemikiran dan keperibadian aku sebenarnya. Dan inilah yang aku pegang dan jadikan pedoman dalam hidup untuk menempuhi hari seterusnya.

Bagi aku, inilah masanya untuk aku 'bantai sungguh-sungguh' zaman remaja dan awal kedewasaan aku. Bila umur aku dah lanjut dua atau tiga tahun selepas itu, barangkali aku sudah tidak dapat menikmati semua ini lagi.

Jadi kesimpulannya, raikan kehidupan dengan apa yang dimiliki dan jangan lepaskan peluang untuk melalui perkara baru. Asalkan ia tidak bertentang dengan agama, undang-undang atau norma manusia, teruskan. Ingatlah, setiap fasa dalam kehidupan itu singkat saja tempohnya, lagipun hidup ini sememangnya singkat.

Fokus aku sekarang ini ialah untuk melalui fasa hidup yang berubah sedikit demi sedikit mengkikut usia dan pengalaman dan melakukannya dengan bersungguh-sungguh dengan kemampuan yang tidak seberapa.
Kepada kawan aku yang prihatin tu, terima kasih banyak-banyak. Tak payah la ang nak sibuk urusan jim wau dal wau ha aku tu. Aku sentiasa percaya setiap yang berlaku dalam hidup ni ada habuan masing-masing. Oraito!

Kalau ada apa-apa yang menarik, aku akan menulis lagi.
Wasalam.

4.6.11

Terowong masa

Umur 0-5tahun.

Aku tak suka mandi. Banyak bercakap. Kalau mak keluar senyap-senyap dan tinggalkan aku, soalan akan keluar bertubi-tubi..."tanya soalan macam pendakwa raya ambil statement,"kata mak. suka nangis..nak pergi rumah kak noni. main masak-masak dengan jiran. waktu adik aku lahir, bapa aku larang aku duduk dekat-dekat. suka duduk atas tempayan bawah pokok, bila kapal terbang lalu lari masuk rumah. mengamuk sebab mak beli sate ikan tak bawa aku. Bila dengar bunyi moto yang ada tank minyak kat depan (moto tok baha) aku lari masuk rumah, moto dan tuannya ibarat askar dan kereta kebal. hari-hari dapat hadiah tora dan ding dang,pak su belikan.

6-11 tahun
suka pergi sekolah tadika. pendiam dalam kelas. darjah 1 mula buat liat nak pergi sekolah. darjah 2 cemerlang dalam kelas. darjah 3 kena dajjal dengan kawan sekelas dan cikgu. darjah 4,kelas macam neraka. darjah 5, "ini baru tahap aku duduk dalam kelas ni"..bahagia (no discrimination).Main nyanyi-nyanyi belakang balai raya dengan kawan nama Hidayah di sebelah rumah hidayah lagi sorang.Makan laksa.

12-17 tahun
UPSR. PMR. SPM. Hari-hari bapa aku hantar dan ambil dari kelas malam. memberontak. tak puas hati. dapat anak saudara. naik basikal (kenderaan rasmi). jadi pengawas. sekolah tempat yang merunsingkan tapi pengalaman yang baik. kena dajjal dengan cikgu kemahiran hidup, cikgu biasiswa. tengok cerita filipina. kawan dengan budak lelaki(wan dan syafizi), hari-hari lepak depan pintu rumah.

18-20 tahun.
Kerja kilang. STPM. tingkatan 6. Tidur dalam kelas. Baca novel inggeris.bercinta buat kali pertama. Berdikari. Buat hal sendiri. Komited nak belajar dan mengajar. memberontak. kemalangan. bengang. suka tengok cerita indon. minat budak sabah.

20-23 tahun.
Masuk U. demontrasi. bahasa Melayu. Sastera. radikal. Pilihanraya Kampus. Speaker Corner. Pantai Dalam.Naik Bas. jalan kaki. kawan ramai. mula hilang sikap memberontak. hubungan yang rapuh. dapat tahu kena tipu.graduate. kerja.beli kereta.

24 tahun
kerja baru. pengalaman baru. pemikiran baru. bosan kadang-kadang. lebih matang...lagi? nanti aku tambah lagi kalau ada.

Inilah yang aku lalui sepanjang hidup aku. Berubah-rubah dari satu fasa ke satu fasa.

Aku tak boleh putar masa untuk pakai baju sekolah, didukung mak, tidur dalam buaian, menjadi remaja 16 tahun.

Inilah hidup!

2.6.11

Saat-saat gelabah berhadapan dengan...

Wah..agak dah lama aku tak menjenguk blog..kalau rumah dah penuh sawang, tahi lipas, habuk dan macam-macam.

Kali ni aku masuk dengan satu kisah yang agak menarik. Boleh jadi iktibar gitu.

Semalam, selepas balik kerja lebih kurang jam 10 aku makan di sebuah kedai di Jalan Pantai Baru. Lepas keluar dari kedai dalam jam 11, aku nampak satu kereta yang alarmnya sedang menjerit meminta tolong. Pintu kereta bahagian belakang terbuka luas. Seorang wanita berdiri berhampiran kereta dalam samar cahaya lampu jalan. Aku pula masih leka berbual dengan kawan dan sibuk betulkan beg. 

"kereta siapa tu?,"tanya aku yang masih blur.

"entah,macam kereta dayah je," kata Mardia, kawan aku.

Aku merenung dalam gelap, Ya Allah kereta aku rupanya.

Aku terus berlari sekuat hati walaupun berkain labuh. Mee goreng tapau dua bungkus aku serahkan kepada Mardia. Sedang aku berlari mendapatkan kereta yang agak jauh, wanita tadi telah masuk dan menutup pintu kereta. Dalam hati aku "apa la yang dia buat dalam kereta aku".

Akhirnya aku sampai juga di situ, perempuan terbabit sedang membaca surat khabar dengan santainya macam dekat rumah.

Aku ketuk cermin kereta untuk suruh dia keluar. Tapi dia macam blur dan tidak bersalah sampailah aku buka pintu kereta. Dia keluar dan aku menyambut dengan soalan.

"Kenapa masuk kereta saya?"

Dia tidak menjawab soalan. Sebaliknya mengambil surat khabar yang ada muka artis dan tunjuk kepada aku. 

"I (saya)...I.." sambil menuding jari pada diri sendiri. 

Rupanya bukan orang sini. Gayanya macam perempuan China. Aku cakap Inggeris pun dia tak faham, Melayu pun tak faham juga. Dia berlalu dalam keadaan blur dan menuju ke kereta belakang.

Aku masuk dalam kereta dengan rasa marah dan gemuruh, boleh jadi juga trauma sekejap.
Tengah aku hidupkan enjin, aku nampak dia berdiri di van belakang kereta aku. Menurut kawan aku, dia cuba juga untuk buka pintu van itu. Yang aku nampak, pemandu ada dalam tu dan dia menuding jari ke dalam kereta macam ada sesuatu yang dia nak. Mungkin orang tu tak layan, dia patah balik ke arah kereta. Aku gelabah, terus pecut.

Lepas hantar Mardia, aku ke Petaling Jaya ambil sepupu. Memandangkan aku memandu seorang, takut juga kalau ada apa-apa kat tempat duduk belakang. Sambil tunggu sepupu aku habis kerja, aku telefon mak untuk mengadu. Mungkin boleh pulih semangat dan hilangkan rasa takut.

Masalahnya, mak aku pergi mesyuarat. Aduhai. Nasib baik adik aku ada dan suruh pergi lapor polis. Dari PJ aku terus ke balai polis Pantai.

Lepas aku buat aduan, 4 atau 5 orang polis bergegas ke kedai makan tadi dengan motor. Aku ikut belakang denga penuh semangat. Malangnya perempuan tu tak ada.

Polis tu minta aku bagitahu ciri-ciri fizikal perempuan tu.
"pakai t-shirt, rambut sanggul, seluar pendek, bawa beg tangan"

Pengajaran:
Jangan parking kat tempat yang kurang terang walaupun tepi jalan.

Yang lain-lain fikir sendiri....









23.5.11

kaca mata orang bawahan

Seorang pemimpin memakai kot dan berucap di rostrum. Makan di tempat mewah dan layanan kelas pertama.Aku hanya anak marhaen yang menghitung dan mencatu gaji setiap bulan asalkan cukup makan dan pakai dan paling penting aku gembira. Di lapisan bawah,sebuah keluarga yang berpendapatan sama dengan aku. Ada tujuh mulut untuk disuap setiap hari. Tidak cukup satu keja, dua tiga pun sanggup asalkan tidak kebulur. Di satu lagi ruang, kelihatan anak-anak muda yang lelah menanggung yuran pendidikan yang jumlahnya sama dengan gaji seorang pemimpin setiap bulan. Lalu aku bertanya,di manakah mereka yang memakai kot tadi?ucapan dan wajah mereka lenyap apabila televisyen dipadam. 

20.4.11

Alahai ustaz..

Tulisan aku kali ini bukan untuk mengutuk mana-mana pihak apatah lagi masjid. Ini hanya untuk berkongsi dan juga teguran untuk para ustaz walaupun pengetahuan agama aku hanya sekadar ala-kadar.

Aku singgah di satu masjid  untuk solat maghrib. Ketika itu seorang ustaz sedang berceramah. Topiknya  mengenai syurga dan bercerita tentang keindahan kehidupan di syurga serta kecantikan bidadari syurga. Tidak ada masalah dengan tajuk ini. 

Yang menjadi masalah dan menggangu tumpuan solat ialah ustaz itu terlalu menekankan keindahan aset perempuan dan diulang-ulang perkara yang sama walaupun dilihat tidak ada keperluan. Lagi satu, asyik sebut perkataan 'romen' berulang-ulang kali. Jika benar di syurga kehidupan memang indah dan begitu rupa, rasanya tidak perlu perkara tersebut ditekankan. Mungkin ada yang beri alasan ustaz tu nak ceriakan suasana, tapi apa yang diucapkan agak keterlaluan.

Banyak lagi perkara yang boleh dibincangkan dalam ceramah. Setiap zarah dalam kehidupan tidak terlepas daripada agama, begitu luas perkara yang boleh didakwahkan. Bukan terhad kepada syurga, neraka,solat dan puasa saja.

Apa kata bicara soal halal haram makanan, yang sekaranng banyak diragui status halal.
Isu rasuah pun tak ada yang tegur sangat.
Kerja curi tulang pun menarik juga, ini pun berkait dengan ibadah dan melibatkan majoriti masyarakat.
Ustaz-ustaz cuba la cari tajuk yang menarik dan relevan dengan semasa, banyak kan membaca pelbagai bahan, bukan sekadar buku agama je.

Maaf kalau ada yang tersinggung, isu ini agak sensitif. Tapi aku sekadar meluah pendapat dan memberi cadangan.