30.11.10

Salahkah ke tak guna styrofoam?

Kebiasaanya waktu sarapan pagi di tempat kerja, aku akan tapau makanan dari gerai berdekatan. Apa yang  terbayang bila aku sebut tapau? Mesti styrofoam dan beg plastik kan? Sejak aku menuntut di tahun akhir lagi aku dah mula bawa bekas sendiri untuk beli makanan. Tambahan pula di UM ada kempen alam sekitar. Aku antara penyokong kuat kempen ini walaupun bukan aktivis. Kalau beli makanan di kedai aku akan bawa mangkuk plastik dan beg kertas. Sampaikan beli bihun sup di pasar malam Pantai Dalam pun aku guna bekas plastik. Aku tak nak menambahkan jumlah sampah paling kurang pun 20 000 tan setiap hari. Kawan-kawan aku mesti menutup muka kalau keluar beli makanan dengan aku.


Pernah sekali, nak beli nasi lemak depan rumah di Pantai Permai, nasi lemak di situ memang sedap. Biasanya aku beli macam biasa, bungkus dengan pembungkus kertas minyak. Sejak aku dah amalkan "tak nak beg plastik", aku pun hulurkanlah bekas plastik hijau yang comel sambil beritahu
"Kak, bungkus dalam bekas ni ya"
Peniaga wanita itu memandang kawannya dengan wajah pelik, macam aku ni nak beli tokei kedai pula.
Aku pun buat tak reti saja lah. Bukannya aku tak bayar, jimat plastik lagi. Aku tetap menikmati makanan itu dengan puas kerana aku dah berjaya kurangkan satu sampah.

Satu lagi, Jumaat lepas, waktu rehat semua kawan-kawan aku tak ada. Jadi aku tapau makan tengahari. Waktu nak bayar, tokei kedai tu pun sama saja macam cerita di atas. Dia tak ada la tarik muka, cuma pelik bila aku buat macam tu. Anak dia (budak sekolah rendah), siap cakap "peliknya". Aku tetap dengan muka selamba.

Masa aku di UM dulu, pelajar Cina kalau tapau makanan, tanpa rasa janggal dan segan mengisi makanan dalam bekas sendiri. Yang pelik, orang lain tidak pula kata "eee,peliknya"
Tapi kalau orang sebangsa sendiri buat macam tu habis kena perli.

Itu lah orang kita, bila buat sesuatu yang baik (aku tidak bermaksud aku baik,cuma mempraktikan kebaikan), akan dipandang serong. Kerana apa?kerana bukan kebiasaan. Cuba tengok kalau pasangan bercinta berpegangan tangan, beraksi ringan di khalayak, jarang yang bagi respon
"Ish, tak sedar ke salah pegang tangan bukan muhrim, ini dah dikira mendekati maksiat"
Selalu dapat respon macam ini
"Alah, biasa la, orang bercinta"
"Biar la, pak we dia"
Kebiasaan tidak akan menghalalkan yang haram.

Bagi aku tak perlu malu buat sesuatu yang membawa kebaikan, biar la hanya kita sahaja yang buat. Bila pandang ke zaman nabi berdakwah dulu, hanya beberapa orang sahaja yang mengikut. Sama juga dalam hal ni, mungkin kita dalam kalangan kelompok kecil, tapi Allah Maha Mengetahui apa yang dikerjakan hambaNYA. Kalau baik, baik lah balasannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan