30.11.10

Pedulikah kita?

Firman Allah (Surah Al-Baqarah ayat 168) bermaksud: “Wahai manusia makanlah daripada apa yang Kami berikan di muka bumi ini yang halal lagi bermutu dan jangan sekali-kali kamu mengikut jejak langkah syaitan kerana syaitan itu musuh yang nyata.”

Hari ini, aku hanya mengambil oat sebagai ganti nasi untuk tengahari. Tekak terasa hendak makan ayam penyet, makanan terkenal Indonesia. Sebut pasal makan, siapa yang tidak suka makan. Sejak berhijrah dari alam rahim, hingga hendak melangkah ke negeri barzakh, makan satu perkara wajib bagi benda hidup. Kalau di Malaysia, pantang ada makan percuma, tahap makan bukan lagi mengisi perut, sudah seperti tiada esok untuk makan. Makan memang sedap, seronok, nikmat kalau dapat makan. Tambah-tambah makanan yang jarang dinikmati. Kalau dapat dinikmati sekali-sekala, Alhamdulillah, dapat juga merasa. Yang kita makan hari-hari pun kena bersyukur, walaupun sekadar telur goreng dan ikan masin. Asalkan halalan toyyiba.
Setiap kali terdetik untuk makan atau membeli makanan, berapa ramai antara kita umat Islam yang berfikir
"Makanan ini bahannya apa?, cara prosesnya bersih ke tidak?"
"Ayam ni sembelih ke tidak?"
"Sijil halal di kedai ini ori ke tidak?"
"Mi, koey teow, tauhu ini buatan muslim ke atau dari kilang yang kena serbu JAKIM sebab kotor?"
Mungkin ada yang mengatakan aku cerewet dalam memilih makanan. Kalau asyik memikirkan semua perkara ini, sampai bila pun tidak dapat makan. Ya, dalam keadaan sekarang, kita perlu menjadi cerewet. Bukan cerewet sebab tempat makan tiada kelas, tidak sedap tetapi status halal yang dipersoalkan. Ramai pengusaha yang  menyalahgunakan sijil halal. orang Islam sendiri pun tidak sensitif soal makanan. Janji sedap. Soal halal letak nombor 10.

Aku rasa tidak perlulah aku huraikan senario makanan halal di Malaysia. Kalau hendak tahu lebih lanjut, silalah bersembang dengan Lebai Google bin Mat Yahoo bak kata bloger Tukar Tiub. Yang aku hendak tekankan di sini ialah sikap orang kita, Islam dan Melayu yang memandang remeh soal makanan. Janji sedap. Selagi tidak makan babi dan minum arak, ia dikira halal. Tetapi, apa maksud halal sebenarnya? Cuba faham betul-betul halal haram di bawah ini. (Sumber:http://www.islam.gov.my/e-rujukan/lihat.php?jakim=2090)
  1. Punca makanan tersebut iaitu seperti daging yang digunakan. Kebanyakan masyarakat bukan Islam menganggap hanya khinzir makanan yang haram dalam Islam tetapi binatang yang bertaring serta binatang yang hidup dua alam dan binatang yang jijik seperti cicak dan sebagainya juga haram.
  2. Seterusnya ialah kaedah penyembelihan haiwan. Masyarakat bukan Islam tidak tahu konsep penyembelihan haiwan dalam Islam. Lebih menakutkan adalah sekiranya mereka sendiri yang menyembelih haiwan tersebut dan menjual di pasaran terbuka. Sedangkan antara syarat penyembelihan dalam Islam adalah penyembelih mestilah orang Islam. Selain itu, peniaga makanan bukan Islam juga perlu memastikan haiwan yang mereka beli di pasaran dibeli daripada peniaga Islam atau dari syarikat penyembelihan yang mendapat  pengiktirafan halal oleh JAKIM.
  3. Tentang cara pengurusan makanan dan pemprosesan sesuatu bahan makanan. Adakah tempat  untuk mereka proses terhindar dari sebarang najis. Adakah tempat penyimpanan makanan tersebut bercampur dengan bahan-bahan yang haram disisi Islam. Begitu juga dari segi pengangkutan. Adakah barang makanan tersebut dibawa dengan pengangkutan yang juga memuatkan bahan makanan yang haram disisi Islam seperti daging khinzir yang dicampur dengan ayam dalam sebuah lori.
  4. ramuan dalam bahan makanan. Sebagai contoh bahan makanan yang dicampur dengan alkohol ,minyak dari lemak khinzir dan sebagainya. Malah kedapatan restoran yang memaparkan lambang halal tetapi bahan makanannya dicampur dengan ramuan seperti alkohol dan sebagainya.Ini sering berlaku dikebanyakan restoran-restoran dan hotel yang menggunakan khidmat chef dari luar negara.
  5. Seterusnya dari segi peralatan yang digunakan untuk memasak dan memproses sesuatu bahan makanan. Pihak berkenaan perlu memastikan bahawa peralatan seperti kuali, periuk, pisau dan sebagainya tidak pernah digunakan untuk memasak bahan makanan yang haram mengikut syariat Islam. Kita tidak mahu kuali yang pernah digunakan untuk memasak daging khinzir digunakan pula untuk memasak makanan bagi orang Islam pula.
  6. Penjagaan kebersihan makanan dari benda-benda yang dianggap mengotorkan dalam Islam dan tidak suci. Mungkin pelanggan tidak menyangka restoran yang memaparkan logo halal dan mempunyai persekitaran yang bersih di luar tetapi di bahagian dapur berada dalam keadaan yang sangat kotor dan tidak memenuhi ciri-ciri konsep halal dalam Islam.
Yakinkah kedai makan yang kita selalu makan itu bersih dan suci? Bukan kita tidak boleh makan, tapi hati-hati jangan sampai membawa kemurkaan Allah. Selamat Beramal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan